KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- AEON Bank tampil sebagai perintis yang memperkenalkan program setem kesetiaan interaktif berasaskan gamifikasi pertama di Malaysia bagi sektor perbankan digital menerusi ‘Neko Missions’.
Menerusi kenyataan hari ini, AEON Bank memaklumkan program itu direka khas untuk meningkatkan keterlibatan pengalaman pelanggan serta menceriakan rutin perbankan digital mereka apabila melakukan transaksi harian.
Menurut kenyataan itu ciri terbaharu berkenaan dibangunkan dengan sinergi bersama ekosistem keseluruhan Kumpulan AEON, termasuk penglibatan rakan niaga seperti ZUS Coffee dan Tealive, serta dioptimumkan dengan kolaborasi bersama PayNet menerusi program ‘Neko Missions x DuitNow QR’ .
Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz dalam kenyataan sama berharap Neko Missions dapat menceriakan pengalaman membeli-belah harian pelanggan serta menjadikannya lebih dinamik.
"Kami berhasrat untuk meningkatkan pengalaman perbankan digital dengan mengoptimumkannya sebagai platform interaksi antara pelanggan dan jenama F&B (makanan dan minuman) kegemaran mereka serta pedagang runcit pilihan,” katanya.
Neko Missions membawa keterujaan dengan ganjaran menarik bagi setiap transaksi digital pelanggan, dan setem maya ‘Neko Paws’ boleh dikumpul melalui aplikasi AEON Bank dengan menekan ikon ‘Ganjaran’ serta melengkapkan Neko Missions.
Neko Missions menampilkan dua kolaborasi utama iaitu ZUS Coffee dan DuitNow QR oleh PayNet, dan setiap transaksi Neko Missions x DuitNow QR RM20 dan ke atas akan melayakkan pelanggan mengumpul satu Neko Paw (maksimum dua sehari), mulai sekarang hingga 31 Mac.
Selain itu, set lengkap 10 Neko Paws boleh ditebus dengan 1,000 Mata AEON (bersamaan RM5) menerusi aplikasi AEON Bank.
Sementara itu, Pengarah Kanan Komersial PayNet Azrul Fakhzan Mainor berkata kerjasama strategik syarikat itu bersama AEON Bank memperkukuhkan landskap pembayaran digital di Malaysia dengan menawarkan pengalaman transaksi yang lancar, selamat dan bermanfaat.
"Melalui Neko Missions, kami mengintegrasikan insentif dalam transaksi harian, menggalakkan rakyat Malaysia untuk beralih kepada pembayaran tanpa tunai sambil menikmati ganjaran yang bermakna,” katanya.
Dalam pada itu, bagi Neko Missions x ZUS Coffee pula yang bermula sekarang hingga 31 Mei, pelanggan hanya perlu menggunakan Kad Debit-i AEON Bank untuk membayar pembelian di ZUS Coffee (minimum RM7) untuk mendapatkan satu Neko Paw, dengan ganjaran boleh ditebus melalui aplikasi ZUS Coffee setelah mengumpul enam Neko Paws.
Menurut kenyataan itu, Neko Missions seterusnya bakal menawarkan lebih banyak ganjaran menarik melalui kerjasama dengan rakan runcit seperti myAEON2Go, AEON Fantasy, Tealive, Sisters Crispy Popiah.
Selain itu, pelanggan juga digalakkan menggunakan Kad Debit-i Visa AEON Bank untuk pembayaran di kedai fizikal dan dalam talian bagi mengumpul lebih banyak Mata AEON yang boleh ditebus dalam bentuk tunai melalui aplikasi AEON Bank.
Pelanggan boleh menyertai Program Rujukan "Share-Share Lah" AEON Bank dengan setiap kali merujuk seorang rakan atau ahli keluarga untuk membuka Akaun Simpanan-i AEON Bank, mereka akan menerima 1,800 Mata AEON bernilai RM9.
Menurut kenyataan itu, AEON Bank kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan perbankan digital yang mudah diakses, selamat dan patuh Syariah untuk rakyat Malaysia.
AEON Bank memaklumkan dengan menggabungkan penyelesaian kewangan digital dan tawaran gaya hidup melalui Neko Missions dan Program Mata AEON, syarikat itu terus menerajui pengalaman perbankan digital yang lebih dinamik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial