AM > BERITA

Selangor Keluar Garis Panduan Permudah, Seragam Pendaftaran Taska Julai Ini

25/02/2025 03:31 PM

SHAH ALAM, 25 Feb (Bernama) -- Garis panduan bagi menyeragamkan dan memudah cara pendaftaran taman asuhan kanak-kanak (taska) di Selangor akan dikeluarkan pada Julai depan, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari.

Anfaal berkata garis panduan yang antara lain bagi meningkatkan jumlah pendaftaran taska di negeri itu dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Beliau berkata ia selaras dengan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam meningkatkan jumlah taska berdaftar, yang setakat Januari lepas sebanyak 959 taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala 164 taska lagi dikesan tidak berdaftar. 

“Ini termasuk menyediakan Geran Pusat Jagaan (GPJ) Selangor hingga RM5,000 bagi membantu pengusaha menampung kos pendaftaran melibatkan pematuhan kepada agensi teknikal.

“Selain itu, mengaktifkan pusat sehenti di peringkat negeri dan daerah bagi memudah cara proses pendaftaran hingga pengusaha berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan oleh agensi teknikal. Sebanyak 201 taska berjaya dibantu hingga lulus pendaftaran setakat Disember lepas,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Pang Sock Tao (PH-Kuala Kubu Bharu) berhubung status terkini pengusaha taska berdaftar dan tidak berdaftar di Selangor pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini hari ini.

Anfaal berkata usaha lain dilakukan pihaknya dalam memastikan setiap taska berdaftar, termasuk  memberikan notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 kepada pengusaha.

Selain itu, beliau berkata Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Perkhidmatan Penjagaan Negeri Selangor (JKPPP) turut ditubuhkan dengan dianggotai oleh pihak berkuasa tempatan, JKM, PlanMalaysia Selangor, Jabatan Kesihatan Selangor, bomba dan Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN). 

“Jawatankusa itu berfungsi menilai peraturan dan standard sedia ada serta menambah baik dengan menyediakan garis panduan yang standard berkaitan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anfaal berkata berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 1,300 kes keganasan rumah tangga dicatatkan di Selangor tahun lepas, yang melibatkan 871 kes keganasan terhadap wanita, 286 kes terhadap lelaki dan kanak-kanak 143 kes. 

Untuk langkah pencegahan, Anfaal berkata kerajaan negeri akan terus memperluaskan program kesedaran tentang keganasan rumah tangga menerusi pelaksanaan Kempen Menentang Keganasan Berasaskan Gender, bermula April ini 

“Kempen ini akan dilaksanakan dalam format siri jelajah ke daerah di Selangor dengan kerjasama strategik semua pemegang taruh termasuk pihak berkuasa tempatan, Pejabat Daerah dan Tanah, PDRM, Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan pemimpin komuniti,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan lisan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) yang ingin tahu bilangan kes keganasan rumah tangga terhadap wanita dan kanak-kanak mengikut daerah di Selangor.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan