BERITA TERGEMPAR   Hud Aryan's body found stuck at a tree near the river bank in Tanah Merah this afternoon - Fire and Rescue Department | 
 AM > BERITA

Kemalangan Maut Libatkan Lori, Tuntutan Insurans Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

26/02/2025 08:52 AM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan lori, isu penyakit kerap dituntut dalam insurans perubatan dan trend kematian kanak-kanak di pusat asuhan antara tumpuan utama Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) akan mengemukakan soalan berkaitan tindakan tegas yang diambil Kementerian Pengangkutan dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat.

Soalan berhubung senarai 10 jenis penyakit paling kerap dituntut dalam insurans perubatan oleh rakyat Malaysia serta perbezaan caj hospital swasta pula akan diajukan oleh Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) kepada Menteri Kewangan.

Pada sesi sama, Tan Kar Hing (PH-Gopeng) akan mengajukan soalan kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkenaan perubahan suhu Cameron Highlands dalam tempoh 10 tahun serta statistik jumlah kes kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Persoalan mengenai usaha Kementerian Pendidikan Tinggi meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti, terumatanya bagi memperoleh pekerjaan dalam bidang yang relevan dengan kelulusan mereka dijadualkan diajukan P. Prabakaran (PH-Batu).

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) pula akan mengajukan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai trend dan jumlah kes kematian kanak-kanak di pusat asuhan serta pandangan kementerian berhubung insiden bayi empat bulan yang dilaporkan meninggal dunia di sebuah taska, Januari lepas.

Usai sesi berkenaan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) BERNAMA (Pindaan) 2024 dan RUU Majlis Media Malaysia 2024, diikuti RUU Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Pindaan) 2025 oleh Menteri Perpaduan Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan