AM > BERITA

Projek Di Laluan BBST Ke KLIA Dilaksana Berfasa Bermula 24 Feb Hingga 10 Dis 2025 - JKR

26/02/2025 06:56 PM

PUTRAJAYA, 26 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan kerja menerusi projek membina dan menyiapkan jalan persimpangan FT29/FT32 hingga laluan FT27 dilaksanakan secara berfasa bermula 24 Feb hingga 10 Dis 2025.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan fasa pertama melibatkan laluan dari Bandar Baru Salak Tinggi (BBST), Sepang, Selangor ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari kedua-dua arah.

“Fasa ini mengekalkan dua lorong sedia ada serta melibatkan penutupan satu lorong kanan di kedua-dua arah. Pengguna jalan raya dari arah BBST ke Kota Warisan perlu melalui laluan alternatif di persimpangan lampu isyarat selepas Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang ke persimpangan berhampiran pasar raya KIPMall.

“Pengguna jalan raya dari arah Putrajaya dan Kota Warisan menghala ke KLIA pula perlu melalui persimpangan tol Bandar Serenia,” menurut kenyataan itu.

Bagi fasa dua hingga empat, JKR memaklumkan ia melibatkan kerja-kerja lain di sepanjang sempadan kontrak.

Susulan itu, menurut JKR laluan membelok ke kanan di persimpangan Kiwa ditutup sepenuhnya sepanjang tempoh pembinaan yang melibatkan jalan dari arah Kota Warisan dan Putrajaya menuju ke KLIA serta lalauan dari BBST ke Kota Warisan.

“JKR telah menyediakan Pelan Pengurusan Trafik serta mengaktifkan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) untuk bersiap sedia sepanjang tempoh pembinaan. Pengguna dinasihatkan agar mematuhi peraturan lalu lintas, papan tanda keselamatan, papan tanda arah dan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa demi keselamatan bersama,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan projek tersebut bertujuan menyediakan rangkaian jalan raya baharu menghubungkan KLIA Terminal (T) 1, KLIA T2 dan BBST dengan Putrajaya, Cyberjaya hingga ke Puchong.

Antara skop utama projek adalah membina jalan baharu empat lorong berkembar sepanjang 1.2 kilometer, menaik taraf persimpangan lampu isyarat di laluan FT 27 dan F29/FT32, menyiapkan baki kerja jambatan merentasi Sungai Labu dan penyiasatan terhadap keutuhan struktur ‘pier’ dan ‘pile embarkment’.

Jabatan itu memaklumkan kerja penambahbaikan tersebut dilaksanakan berdasarkan maklumat, aduan serta beberapa siri perbincangan berkaitan masalah banjir di kawasan berkenaan.

“JKR sentiasa mengambil berat dan berusaha untuk menyediakan infrastruktur dan prasarana awam terbaik serta berkualiti demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan