AM > BERITA

MTA Laksana Program Ihya Ramadan Dengan Konsep Baharu Bagi Santuni Asnaf

28/02/2025 09:01 PM

SUNGAI PETANI, 28 Feb (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) memperkenalkan konsep baharu Program Ihya Ramadan tahun ini bagi menyantuni golongan asnaf, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Radzuan Mohamed.

Beliau berkata pada tahun ini program berkenaan akan dilaksanakan bersama program Jelajah Takaful selain bekerjasama dengan Majlis Agama Islam di negeri-negeri.

“Jadi ini siri terbaharu yang kita perkenalkan yang dipanggil Jelajah Takaful, fokusnya lebih kepada bekerjasama dengan majlis agama Islam negeri untuk kita menyantuni asnaf.

“Kolaborasi ini penting sebab dalam ekosistem Islam, kita ada masjid… ada zakat, ada takaful, itu konsepnya untuk membantu golongan asnaf,” katanya kepada Bernama pada Program lhya' Ramadhan: Jelajah Skuad Takaful4All #SantuniKedah di Merbok dekat sini hari ini.

Mohd Radzuan berkata MTA melaksanakan program membantu asnaf dan komuniti memerlukan, menerusi dana di bawah Tabung Sosial Takaful yang disumbangkan industri takaful.

“Tabung Sosial Takaful ini kita gunakan untuk melaksanakan projek seperti ini, jadi berapa banyak program yang akan diadakan, ia bergantung kepada kutipan zakat dan sumbangan industri takaful,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Radzuan berkata MTA bercadang mengadakan kempen ‘Satu Asnaf, Satu Takaful’ bagi membantu golongan asnaf mendapat perlindungan takaful.

Beliau berkata menerusi kempen berkenaan golongan asnaf akan membuat sumbangan takaful pada kadar yang rendah kepada pengendali takaful.

“Kalau boleh setiap asnaf ada perlindungan takaful, terutama sekali ‘asnaf sementara’. Asnaf sementara ini adalah golongan yang menjadi asnaf disebabkan sebab-sebab tertentu seperti kehilangan pekerjaan.

“Semasa pandemik COVID-19 dahulu ramai yang jadi asnaf disebabkan kehilangan pekerjaan, tapi bila dia dapat pekerjaan dia keluar daripada kategori asnaf,” katanya. 

Terdahulu, Mohd Radzuan menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 100 asnaf di kawasan Merbok, di sini sempena Program lhya' Ramadhan: Jelajah Skuad Takaful4All #SantuniKedah yang dilaksanakan MTA.

Program itu yang dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah dan Masjid Al Busyra, Merbok, bertujuan menyantuni dan mengagihkan sumbangan kepada golongan asnaf sempena Ramadan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan