AM > BERITA

Wakil Kerajaan Dalam MMM Libatkan Pengamal Media Bernama, RTM - Fahmi

28/02/2025 09:15 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama)-- Wakil kerajaan dalam Majlis Media Malaysia (MMM) terdiri daripada pengamal media daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan MADANI berkata wakil dalam MMM juga bukan dalam kalangan ahli politik.

“Banyak daripada majlis (sedia ada), bukan hanya majlis media (MMM), mempunyai wakil daripada pihak kerajaan. Jadi hal ini tidak menjadi isu dan kita telah bincang perkara ini dengan pasukan protem yang telah menyediakan draf itu. 

“Mereka harus menjadi warga media itu sendiri contohnya Bernama atau RTM. Jadi saya tak lihat ini satu perkara yang janggal. Niatnya adalah untuk memberi sekiranya ada apa-apa maklum balas, maka dipermudah proses itu,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Media melaporkan sekurang-kurangnya 10 persatuan berkaitan media menyokong penubuhan MMM, namun menolak kehadiran wakil kerajaan sebagai ahli lembaga majlis itu.

Hasrat itu disuarakan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), ARTICLE 19, Gerakan Media Merdeka (GERAMM), Justice for Sisters (JFS), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Sinar Project, Amnesty International Malaysia, Malaysian Center for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan KRYSS Network.

Ia turut disokong North South Initiative, Pusat Komas, Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (BERSIH), SIUMAN Collective dan Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER).

Dewan Rakyat pada 26 Feb lepas meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024, antara lain bertujuan menjamin kebebasan media dalam memastikan masyarakat mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata peruntukan dua wakil kerajaan dalam Lembaga MMM dibuat memandangkan ia sebuah badan yang ditubuhkan melalui undang-undang kerajaan dan dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Komunikasi. 

Mengenai RUU Pekerja Gig, Fahmi perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Sumber Manusia Steven Sim untuk meneliti pandangan semua pihak sebelum membawa draf RUU itu kembali ke Kabinet.

“Kita harap proses libat urus dan penelitian isu-isu ini dapat diselesaikan, dan RUU ini kita harap dapat dibentang di Parlimen tahun ini,” katanya.

Beberapa syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig semalam dilaporkan menggesa kerajaan untuk memperhalusi RUU berkenaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, praktikal dan tidak menjejaskan ekosistem pekerjaan fleksibel.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan