PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjadi lokasi pertama penganjuran Program Ihya’ Ramadan yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketibaan Anwar yang juga Menteri Kewangan pada 1 tengah hari diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Beliau meluangkan masa kira-kira satu jam mengikuti tazkirah yang disampaikan Mufti Wilayah Persekutuan Prof Madya Dr Luqman Abdullah bertajuk Puasa dan Hikmah MADANI: Keseimbangan Material dan Spiritual, bersama kira-kira 400 warga JPM.
Usai tazkirah, Anwar menyertai warga JPM menunaikan solat Zohor berjemaah yang diimamkan oleh Luqman.
Terdahulu dalam tazkirah, Luqman menekankan mengenai kepentingan aspek pengurusan masa bagi mengimbangi antara urusan dunia dan akhirat.
“Ini kerana kehidupan manusia berkisar sepenuhnya tentang masa. Ramadan juga sangat berkaitan dengan masa kerana dalam bulan ini, Allah SWT memberikan peluang luar biasa kepada umat Islam untuk menggandakan ibadah,” katanya.
Justeru, Luqman menyeru umat Islam memanfaatkan peluang untuk melipat ganda amalan dan ibadat sepanjang Ramadan untuk memperoleh pahala berganda yang dijanjikan Allah SWT.
“Sesiapa yang berqiamullail di bulan Ramadan dengan keikhlasan, menuntut pahala di sisi Allah akan mendapat keampunan. Kalau tunaikan terawih dan isyak berjemaah pun sudah cukup untuk hidupkan malam lailatul qadar,” katanya.
Sabtu lepas, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah dilaporkan berkata Anwar akan melaksanakan Program Ihya' Ramadan di pelbagai kementerian sepanjang bulan Ramadan ini, bertujuan menjadikan Ramadan sebagai madrasah rohani, bukan sahaja dalam aspek ibadah, tetapi juga pembentukan nilai dan akhlak dalam pentadbiran negara.
Anwar akan mengunjungi pelbagai kementerian untuk menyantuni penjawat awam, diikuti dengan sesi tazkirah ringkas yang disampaikan oleh beliau sendiri serta penceramah jemputan.
Perdana Menteri juga bersetuju untuk turun ke beberapa negeri sepanjang bulan Ramadan ini bagi memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri, selain bertemu masyarakat dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Butiran lanjut mengenai tarikh dan lokasi spesifik bagi setiap majlis akan diumumkan dalam masa terdekat melalui saluran rasmi kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial