AM > BERITA

Lebih 786,000 Rakyat Malaysia Muat Turun Aplikasi MyBorderPass Sejak Januari 2025

04/03/2025 03:45 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Sebanyak 786,603 rakyat Malaysia memuat turun aplikasi MyBorderPass, yang menggunakan kod respons pantas (QR) sejak ia dilancarkan dalam tempoh percubaan pada Januari 2025 sehingga kini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan statistik laluan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan 2, sebanyak 25 peratus penumpang menggunakan kod QR, 60 peratus menggunakan pintu automatik pasport, manakala 15 peratus menggunakan kaunter manual.

“Berjaya atau tidak ia diukur dari segi purata masa yang diambil, untuk lepasi pintu automatik kod QR ini mengambil masa lima saat, pintu automatik pasport pula 15 saat manakala di kaunter manual pula ia bergantung kepada panjang barisan.

“Jadi berdasarkan kepada bulan ketiga (pelaksanaannya) sekarang, KDN berpendapat bahawa pelaksanaan pintu automatik kod QR ini adalah satu permulaan yang baik ke arah kita memastikan kawalan pelepasan di pintu masuk kita, terutama di KLIA 1 dan 2 itu berjalan dengan lancar,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sejauh manakah keberhasilan tempoh percubaan penggunaan kod QR untuk rakyat tempatan mulai Januari 2025 bagi sistem pelepasan imigresen di 40 lorong khas Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA dalam menyelesaikan isu kesesakan di pintu masuk negara.

Saifuddin Nasution berkata langkah penggunaan kod QR dilihat penting kerana Malaysia pada tahun ini menjadi Pengerusi ASEAN, dengan hampir 400 mesyuarat dijadualkan membabitkan pelbagai peringkat seperti pegawai kanan, menteri dan ketua negara.

“Jika ini berhasil, jalan ke hadapan, kita bercadang untuk meluaskannya, (dengan) di KLIA 1 dan 2, kita akan tambah lagi (mesin). Kemudian kita akan membuat pemasangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Sabah, Kuching, Sarawak dan Langkawi, Kedah,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin mengenai adakah kerajaan akan dikenakan bayaran susulan penggunaan aplikasi ini, Saifuddin Nasution berkata tiada sebarang bayaran dikenakan untuk tempoh percubaan pada masa ini.

“Dari segi keselamatan, kalau nak bercakap tentang isu integriti di pintu masuk, inilah jawapannya kerana sistem ini datang dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI) iaitu penggunaan teknologi pengecaman wajah, anak mata selain daripada biometrik… bermaksud tiada lagi pegawai tunggu di situ (pintu masuk).

“Jadi isu ‘mengatur kaunter’ dengan sendirinya akan dapat diatasi. Sekarang pun kita gunakan lebih 172 pegawai tetapi apabila kita membuat pemasangan sepenuhnya nanti, hanya 68 pegawai (di pintu masuk) dan kita akan ada pengurangan hampir 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata MyBorderPass juga akan dilengkapi ciri tambahan seperti semakan status Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), rekod polis yang mungkin menghalang perjalanan dan status pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bagi memudahkan pengguna apabila sistem itu dilaksanakan sepenuhnya kelak.

“Rencana (perancangan) kita adalah pada 1 Jan 2026, semua pelancong dari 63 buah negara di dunia termasuk pemegang pas jangka panjang, kita benarkan (penggunaan MyBorderPass). Buat masa sekarang, setahun ini (dikhaskan) untuk rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan