AM > BERITA

Perbuatan Singgung Perasaan Pengikut Agama Lain Tidak Boleh Diterima - Aaron 

04/03/2025 03:15 PM

PUTRAJAYA, 4 Mac (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang hari ini dengan tegas mengutuk segala bentuk kelakuan mempersenda atau menghina mana-mana agama termasuk Hindu di sebuah stesen radio tempatan milik Astro.

Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan dengan prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara, selain semua pihak seharusnya sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama serta budaya di Malaysia.

“Sebagai sebuah negara majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa.

“Sebarang perbuatan menyinggung perasaan penganut agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aaron juga menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil tindakan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan sewajarnya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk tidak mencetuskan ketegangan atau perasaan benci antara penganut agama, selain setiap tindakan menggugat perpaduan dan keharmonian negara harus dipandang serius.

Sementara itu, Menteri Digital Gobind Singh Deo menerusi kenyataan berkata Astro mesti menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap petugas Era FM, kerana mempersendakan ritual suci membawa kavadi pada hari Thaipusam.

“Perbuatan individu dalam video itu sangat menyinggung perasaan dan amat membimbangkan. Mereka tidak mencerminkan nilai saling menghormati dan memahami yang menjadi asas kepada masyarakat berbilang budaya kita.

“Ritual membawa kavadi pada hari Thaipusam membawa maksud mendalam kepada masyarakat Hindu. Sebarang bentuk ejekan atau tidak hormat terhadapnya, atau mana-mana amalan agama tidak boleh diterima,” katanya.

Hari ini, tular di media sosial tindakan tiga penyampai radio stesen milik Astro, Era FM dilihat seolah-olah mempersendakan upacara agama lain dalam segmen kendalian mereka.

Penyampai radio tersebut kemudiannya membuat permohonan maaf berhubung tindakan mereka menyinggung sensitiviti kaum di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan