BAYAN LEPAS, 7 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak mengesan sebarang kenaikan harga makanan secara melampau di bazar Ramadan di seluruh negara setakat ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dr Fuziah Salleh berkata selain bazar Ramadan, pasukan pemantau KPDN juga membuat pemeriksaan di pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit yang turut mendapati tiada kenaikan harga mendadak.
"Ada laporan media mengenai kenaikan harga makanan, namun pemeriksaan kita menunjukkan tidak berlaku kenaikan yang mendadak atau tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara 2025 di Bazar Ramadan Jalan Mahkamah di sini hari ini.
Fuziah berkata bagaimanapun KPDN telah menerima 307 aduan melibatkan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta isu berkaitan alat timbang dan sukat.
Beliau berkata sehubungan itu, pengguna yang berhadapan dengan kenaikan harga tidak munasabah termasuk makanan diseru membuat aduan menerusi perkhidmatan Aduan Suri melalui kod QR dan KPDN akan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata sejak Jan 2023 hingga semalam, 36,770 aduan telah dikemukakan menerusi Aduan Suri dan bagi tahun ini, 142 aduan diterima melibatkan Pulau Pinang manakala 1,879 di peringkat nasional.
Terdahulu, Fuziah melancarkan BRR di bawah program Payung Rahmah di Pulau Pinang yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menawarkan Menu Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
“Kami juga menawarkan kad diskaun kepada peniaga yang menjual Menu Rahmah dengan mereka boleh membeli bahan mentah yang tersedia di Jualan Rahmah kami tanpa had, berbanding pengguna biasa,” katanya.
Sementara itu, Fuziah berkata setiap peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di BRR turut menerima insentif e-dompet RM100 serta kad petrol RM50 dengan KPDN masih membuka peluang kepada yang berminat untuk mendapatkan insentif berkenaan sebagai galakan agar lebih ramai peniaga menyertai inisiatif Menu Rahmah.
"Setakat hari ini, 25 peniaga di Pulau Pinang telah menyertainya dan kami berharap lebih ramai akan tampil menawarkan Menu Rahmah kepada pengguna," katanya sambil memaklumkan 10 daripada 95 BRR di seluruh negara terletak di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial