AM > BERITA

SejaTi MADANI Lonjak Kampung Orang Asli Sayong Pinang Sebagai Destinasi Ekopelancongan Unggul

08/03/2025 09:32 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

KOTA TINGGI, 8 Mac (Bernama) -- Kampung Orang Asli Sayong Pinang bukanlah nama asing bagi penduduk daerah ini. Keunikan ekopelancongan yang dimiliki kampung seluas 89.8 hektar ini menjadikannya destinasi yang penuh daya tarikan.

Terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar Kota Tinggi, kampung ini dihuni lebih 300 penduduk, kebanyakannya bekerja sebagai nelayan sungai, penoreh getah, dan pengusaha kelapa sawit. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia semakin mendapat perhatian sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Seiring dengan pembangunan sektor pelancongan, Kampung Orang Asli Sayong Pinang kini bukan sekadar penempatan masyarakat Orang Asli, tetapi sebuah destinasi yang menawarkan pengalaman unik untuk diterokai.

Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati pemandangan alam yang indah, termasuk tasik biru yang menenangkan dan ternakan ikan sangkar, malah mereka juga berpeluang melihat demonstrasi pembuatan kraftangan, mengunjungi kawasan perkuburan Orang Asli, serta menyaksikan tarian kebudayaan yang kaya dengan tradisi dan makna.

Selain itu, melalui Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang bernilai RM100,000, kampung ini kini memperkenalkan aktiviti pelancongan baharu, termasuk kembara menggunakan kenderaan pelbagai guna (ATV), yang menjanjikan pengalaman lebih mencabar dan mengujakan kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Sayong Pinang  Jasni Amat berkata aktiviti pelancongan baharu di kampung suku kaum Jakun itu mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak diperkenalkan pada November tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif ini memberi impak positif kepada penduduk dengan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan pendapatan mereka.

"Sebanyak enam unit ATV dan dua unit kontena telah dibeli menggunakan peruntukan ini, di mana kontena digunakan sebagai pejabat serta tempat penyimpanan ATV.

"Setakat ini, sambutan amat memberangsangkan, terutama ketika musim cuti sekolah...dalam sehari, kami perlu mengendalikan dua hingga tiga trip bagi memenuhi permintaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Jasni berkata para penngunjung akan dibawa menjelajahi keindahan kampung menggunakan ATV, merentasi laluan sejauh satu kilometer yang penuh cabaran, dengan tempoh perjalanan kira-kira 30 minit.

"Sepanjang perjalanan, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai keindahan alam, termasuk pemandangan tasik biru yang memukau serta ternakan ikan sangkar. Jelajah ini melibatkan sebanyak 18 ‘checkpoint’ yang dinamakan sempena suku kaum Orang Asli," katanya.

Jasni turut berkongsi perancangan untuk menambah baik laluan pelancongan itu dengan membina pondok rehat di setiap checkpoint yang menampilkan seni bina tradisional Orang Asli serta menyediakan kawasan perkhemahan.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Majid Jantan, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan dan negeri atas keprihatinan mereka dalam membangunkan kampung berkenaan.

"Saya lihat banyak perubahan positif dalam kehidupan penduduk. Hampir setiap tahun, pelbagai agensi kerajaan menjalankan program di sini.

"Dengan produk pelancongan baharu seperti jelajah ATV, pendapatan penduduk semakin meningkat kerana kampung ini semakin dikenali. Saya berharap ia terus berkembang maju pada masa hadapan," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lepas, turut memuji kejayaan Kampung Orang Asli Sayong Pinang dalam melaksanakan program sewaan bot untuk aktiviti memancing, berkayak, dan ATV, yang membantu meningkatkan pendapatan penduduk sehingga RM15,000 sebulan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan