Oleh Kamarul Halim M Kamal
BATU PAHAT, 11 Mac (Bernama) -- Sebahagian hasil jualan Roti John dan laksa sempena Ramadan akan disalurkan kepada sumbangan amal, satu inisiatif murni yang diteruskan oleh penjual Roti John Muafakat sejak memulakan perniagaan pada 2017.
Pengusahanya Wahyu Hidayat Jaapar berkata bagi jualan roti John sebanyak RM1.50 manakala untuk laksa pula RM1 akan disumbangkan bagi setiap bungkus yang terjual.
Dia yang juga pengasas Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat berkata sumbangan berkenaan akan disalurkan ke pertubuhan itu selain digunakan sebagai bantuan kepada golongan asnaf serta mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah…setelah lebih seminggu kita berniaga pada bulan puasa tahun ini, jualan kedua-dua menu berbuka puasa berkenaan mendapat sambutan menggalakkan, setiap hari roti John yang dijual melebihi 80 biji serta laksa pula sekitar 70 bungkus.
“Untuk roti John kita mempunyai empat jenis iaitu ayam, daging lembu, daging kambing dan roti John kahwin (campuran ayam dan daging lembu) serta laksa yang dijual pula ialah laksa Penang,” katanya kepada Bernama di gerainya di Taman Bistari Tongkang Pechah di sini hari ini.
Wahyu berkata semenjak berniaga roti berkenaan, dia tidak pernah menaikkan harga jualan, untuk sebiji roti John kekal dijual pada harga RM7 dan laksa pula yang kali pertama dijual pada Ramadan tahun ini juga RM7 sebungkus.
“Saya berterima kasih kepada mereka yang membeli roti John dan laksa di sini. Selain membeli, orang ramai juga berpeluang bersama-sama untuk melakukan kerja amal dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Insya-Allah, setelah lapan tahun saya berniaga dan melaksankan kerja amal ini, selagi saya masih mampu usaha ini akan diteruskan pada Ramadan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Pertubuhan Unit Amal Van Jenazah Muafakat Daerah Batu Pahat ini menawarkan perkhidmatan secara percuma membawa jenazah dari Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat dan hospital berhampiran ke lokasi yang diminta waris si mati di seluruh Semenanjung.
Dalam masa yang sama, pertubuhan ini juga melaksanakan proses pengurusan jenazah (mandi dan kafan) secara percuma, perkhidmatan ini dilaksanakan untuk meringankan beban waris, terutamanya daripada golongan asnaf serta yang kurang berkemampuan.
Selain bulan Ramadan, pembeli juga berpeluang membeli sambil beramal dengan membeli burger yang dikenali sebagai Burger Muafakat 4All di lokasi yang sama dengan sebahagian hasil jualan setiap biji burger turut disalur ke tabung yang sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial