Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Pernas Salur Lebih RM3.4 Juta Kepada Usahawan Francais Di Kelantan

21/06/2025 04:39 PM

KOTA BHARU, 21 Jun (Bernama) -- Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) menyalurkan dana pembiayaan lebih RM3.4 juta kepada usahawan francais di Kelantan termasuk peserta program Business In Transformation (BIT) sejak tahun lepas.

Pengerusi Pernas Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli berkata pihaknya akan terus komited untuk membimbing dan memperkasakan usahawan francais di seluruh negara, sejajar mandat yang diamanahkan kepada pihaknya untuk memajukan industri francais negara hingga ke peringkat antarabangsa.

"Pernas dipertanggungjawabkan untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia serta membantu memperkasakan komuniti keusahawanan tempatan agar lebih berdaya saing dan mampan.

"Komitmen ini membuktikan kesungguhan Pernas dalam memperkasakan usahawan francais di peringkat negeri dan akar umbi agar mampu berkembang ke peringkat nasional dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Siri Jelajah Program BizFrancais Kelantan 2025, di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pernas Datuk Nor Azam M. Taib.

Mengulas lanjut, Mohamed Rozhan berkata program BizFrancais Kelantan 2025 menghimpunkan hampir 30 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, syarikat francaisor, prafrancaisor serta usahawan di bawah program Xcelerator dan BIT kendalian Pernas.

"Kelantan merupakan lokasi pembukaan bagi siri jelajah BizFrancais 2025 yang akan diadakan di beberapa lagi negeri tahun ini termasuk Sarawak, Sabah dan Johor.

"Pernas juga telah membimbing lebih 50 usahawan francais dan prafrancais dari Pantai Timur melalui pelbagai inisiatif termasuk program pembangunan perniagaan serta pembiayaan," katanya.

Seorang penerima Nik Aloesniha Nik Mohd Alwi, 46, yang membuka francais pusat kecergasan wanita ‘Curves’ bersyukur pembiayaan berjumlah RM330,000 diterimanya bukan sahaja membantunya membuka perniagaan, tetapi juga menambah akses kemudahan kepada wanita di Pantai Timur yang ingin kekal sihat dan cergas.

Terinspirasi daripada kunjungannya ke cawangan Curves di Selangor, sebelum ini selepas menghadapi masalah berat badan, selain menghidapi diabetes dan kolesterol tinggi, beliau terus membuat keputusan membuka cawangan pertama francais itu di Pahang, bagi membantu wanita yang mempunyai masalah sama.

"Saya bersyukur sebab pada Ogos depan, saya akan buka cawangan di Indera Mahkota 7, Kuantan untuk memberi tunjuk ajar, motivasi dan bimbingan pula kepada golongan wanita yang ingin turunkan berat badan untuk kesihatan dan kelihatan cantik," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan