DUNGUN, 22 Jun (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) yang dilaksanakan kerajaan dalam membantu rakyat menangani kenaikan kos sara hidup bukan sahaja membantu golongan isi rumah berpendapatan rendah, malah turut memanfaatkan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT).
Melalui PJRM@Kampus yang dilaksanakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun hari ini, lebih 6,000 pelajar dapat menikmati pembelian pelbagai barangan terutama makanan dan alat tulis pada potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga biasa.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu Mohd Mufsi Lat berkata selain itu para pelajar juga dapat membeli peralatan keperluan pembelajaran seperti apron dan pisau bagi pelajar jurusan kulinari pada harga lebih murah.
“Pelaksanaan PJRM@Kampus yang kali pertama diadakan di Terengganu ini menawarkan pelbagai keperluan harian dengan harga berpatutan merangkumi 78 item.
“Inisiatif ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mahasiswa mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah di samping membantu merangsang ekonomi koperasi IPT,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PJRM@Kampus di Koperasi Siswa UiTM Dungun Berhad di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya akan memperluas pelaksanaan PJRM@Kampus di IPT lain pula terutama menjelang kemasukan pelajar baharu pada September dan Oktober ini.
Dalam pada itu, pelajar tahun dua Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Muhammad Azmirul Razzy Azizi, 20, berkata jualan yang diadakan hari ini membantunya mendapatkan stok makanan seperti mi segera dan air minuman pada harga lebih murah.
Muhammad Azmirul Razzy yang berasal dari Semenyih, Selangor itu berkata dia terpaksa berjimat setiap hujung bulan kerana enggan menyusahkan ayahnya yang hanya bekerja sebagai kerani dan terpaksa menyara dia serta lima adik-beradik yang lain, manakala ibunya seorang suri rumah.
“Ayah saya beri duit belanja saya sebanyak RM300 tetapi adakalanya tidak cukup. Saya pun tidak mahu meminta lebih wang kerana tidak mahu menyusahkan ayah. Jadi saya terpaksa ‘ikat perut’ setiap hujung bulan sementara menunggu ayah masukkan duit pada bulan berikutnya.
“Saya juga tidak mengambil pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) kerana tidak mahu berhutang. Setiap kali cuti semester saya akan bekerja di kedai makan untuk membayar yuran pengajian setiap semester dan membeli buku-buku,” katanya.
Sementara itu, Nur Adlin Darwisyah Mohd Kamalia, 19, berkata antara barangan yang dibelinya hari ini adalah ubat-ubatan untuk simpanan ketika kecemasan.
“Kalau beli di farmasi seperti tampalan pelega demam (KoolFever) harganya agak mahal jadi saya beli di sini kerana cuaca tidak menentu dan saya mudah demam.
“Selain itu saya beli makanan kering seperti roti dan biskut yang lebih murah kira-kira RM1.50 hingga RM2 berbanding harga biasa. Saya harap jualan murah seumpama ini dapat dilakukan lebih kerap di UiTM ini kerana kami dapat berjimat dan menabung,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial