Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar
IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) kini menjadi talian hayat bagi ribuan isi rumah di negara ini kerana ia bukan sekadar tempat membeli-belah tetapi berkembang sebagai destinasi harapan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Di Ipoh, saban minggu warga kota di sini yang terdiri daripada suri rumah hingga peniaga kecil, menantikan peluang keemasan daripada PJRM demi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih mampu milik.
Seorang suri rumah R. Vijaya, 63, berkata maklumat terkini PJRM sentiasa dipantau menerusi TikTok bagi mengetahui tarikh, lokasi dan waktu jualan diadakan agar tidak terlepas peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga rendah.
“Suami saya, yang bekerja sebagai penjual putu mayam, hanya memperoleh pendapatan antara RM1,000 hingga RM2,000 sebulan. Jadi, kami memang kena berjimat cermat dalam perbelanjaan,” katanya ketika ditemui di PJRM di Taman Rekreasi DR Seenivasagam, Ipoh.
Vijaya berkongsi dia dan suami R. Raju, 66, biasanya membelanjakan sekitar RM600 sebulan untuk keperluan dapur dan tidak pernah terlepas peluang hadir ke PJRM, termasuk yang diadakan di sekitar kawasan rumahnya di Silibin.
“Kalau ada PJRM, saya pasti akan hadir. Kawan-kawan juga selalu beritahu kalau ada jualan di kawasan berdekatan,” katanya, sambil menambah mereka berjimat sehingga RM50 setiap kali membeli barangan seperti minyak masak, beras, telur dan roti.
Pada masa sama, peniaga makanan Kamarulzaman Mohammad Yunus, 51, berkata dia kerap mengikuti program berkenaan menerusi Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak.
“Sebagai peniaga, saya akan cuba hadir ke PJRM sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membeli barangan dapur yang lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Kamarulzaman yang berpendapatan kira-kira RM2,500 sebulan mendedahkan dia mampu berjimat lebih RM100 pada setiap pembelian, sekali gus membolehkannya membeli keperluan makanan untuk keluarganya yang besar.
Pekerja swasta Azlin Eleena Ahmad Suhaime, 32, pula menjelaskan dia mendapat maklumat mengenai jualan PJRM menerusi laman Facebook KPDN dan menjadi pelanggan tetap program berkenaan sejak inisiatif itu dilancarkan pada 2023.
“Setiap bulan saya akan ke PJRM di kawasan berdekatan. Hari ini saya beli barangan seperti lampin pakai buang, gula, ayam dan biskut dengan bayaran RM160 sahaja, berbanding lebih RM200 di luar,” katanya yang berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan.
Selain itu, peniaga kanopi Ismail Abdul Hair, 53, turut berkongsi pengalaman yang menganggap PJRM sebagai peluang penting untuk mengurangkan perbelanjaan dapur keluarganya.
“Kami dapat berjimat kira-kira 20 peratus setiap kali membeli barangan di PJRM berbanding harga biasa. Saya juga pernah ke jualan PJRM di Pulau Pinang ketika secara kebetulan berkunjung ke sana,” katanya.
Pada PJRM di Taman Rekreasi DR Seenivasagam itu, lebih 100 barangan keperluan harian ditawarkan dengan diskaun sehingga 30 peratus, termasuk tepung gandum 1 kilogram berharga RM2.50 berbanding RM3.50 di kedai biasa, minyak masak 5 kilogram pada harga RM21.90 berbanding RM30.90, dan ayam segar RM7 sekilogram berbanding RM10.
Program anjuran KPDN bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), dengan kerjasama Pasaraya SAVE dan Pasar Mini Berkat Jaya itu adalah sebahagian daripada inisiatif Rahmah di bawah Belanjawan 2025 yang bertujuan meringankan beban kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah serta merancakkan ekonomi tempatan dengan menyokong peruncit dan pasar raya tempatan.
Inisiatif kerajaan menerusi PJRM bukan sekadar program jualan tetapi menjadi harapan penting rakyat dalam menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial