BATU GAJAH, 24 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meminta petugas media sambilan supaya membuat caruman melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang berperanan memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam ketika melaksanakan tugasan.
Ketua Cawangan Penjenamaan, Perhubungan Media dan Editorial Perkeso Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin berkata hal itu kerana petugas media sambilan merupakan antara golongan yang sering terdedah kepada pelbagai risiko.
“Permintaan kita supaya petugas media ini mencarum kerana boleh dikatakan hampir setiap minggu kita menyantuni golongan ini yang rata-ratanya memerlukan bantuan.
“Skim SKSPS yang ditawarkan oleh Perkeso ini sememangnya bertepatan kepada petugas media kerana masa bekerja mereka banyak di luar pejabat dan di atas jalan raya. Jadi, risiko terdedah kepada ancaman keselamatan itu sememangnya tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni dan menyampaikan sumbangan sempena Ziarah Kasih Perkeso kepada wartawan sambilan Bernama Razif Rosli, 41, yang mengalami kecederaan meniskus lutut kanan serta masalah buah pinggang di rumahnya di sini hari ini.
Selain Razif, Tengku Khalidah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada jurugambar The China Press Wong Jin Sum, 53, yang mengalami strok ringan serta wartawan Malaysian Nanban S. Balakrishnan, 64, yang menghidap kencing manis dan tekanan darah tinggi di kediaman masing-masing sekitar Ipoh.
Tengku Khalidah berkata antara kelebihan skim ini adalah setiap pencarum layak menerima pampasan sewajarnya jika mengalami kecacatan kekal selain waris keluarga turut menerima manfaat dari sudut kewangan jika berlaku kehilangan nyawa.
“Daripada sudut syarat kelayakan, skim ini terbuka kepada semua petugas media tanpa mengira had umur. Jika melepasi garis umur persaraan juga boleh mencarum untuk mendapatkan manfaat daripada skim ini,” katanya.
Razif pula berkata beliau akan menggunakan sumbangan yang dihulurkan oleh pihak Perkeso bagi menampung kelengkapan perubatan penyakit yang dihidap sejak 2021.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata ketika ini, penyakit yang dialami beransur sembuh namun masih memerlukan rawatan berkala daripada doktor.
“Alhamdulillah, dengan bantuan yang dihulurkan dari sudut kewangan, kotak makanan dan sebagainya ini memberi saya lebih semangat dan harapan untuk pulih seperti sediakala," katanya sambil menambah buat masa ini, penyakit di bahagian kaki kanan yang masih memerlukan rawatan doktor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial