Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sabah Perkenal Inisiatif 'BAYU' Untuk Pelajar STPM

24/06/2025 09:19 PM

KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Kerajaan Sabah memperkenalkan inisiatif baharu, Bantuan Yuran Peperiksaan University English Test (BAYU) untuk semua pelajar Tingkatan Enam melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM918,750.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata bantuan itu melibatkan pembiayaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) yang wajib diambil bagi melanjutkan pengajian ke program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

“Yuran semua pelajar bukan sahaja B40 menduduki MUET tahun ini akan dibayar melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS),” katanya kepada pemberita selepas pengumuman keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) oleh Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin di sini hari ini.

Mohd Arifin berkata bantuan BAYU diharap dapat menggalakkan lebih ramai pelajar mempersiapkan diri untuk menyambung pelajaran ke universiti. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga memberi bantuan RM1,000 kepada 146 pelajar cemerlang STPM 2024 dan RM3,000 kepada seorang pelajar Sabah yang cemerlang di peringkat kebangsaan.

Dalam pada itu, Mohd Arifin berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan dana besar untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan bagi pelajar, sekolah, persatuan ibu bapa dan guru serta persatuan mahasiswa Sabah, dalam dan luar negara. 

"Inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan dan memperkasakan pendidikan di Sabah," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan