Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Balai Seni Negara Pamer Karya Seniman BIMP-EAGA

18/07/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Pameran KePulauan: Refleksi BIMP-EAGA Melalui Seni Kontemporari anjuran Balai Seni Negara menampilkan himpunan karya seni daripada seniman rantau Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur- Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan pameran di Galeri 3A dibuka kepada orang ramai bermula hari ini hingga 31 Mei tahun depan, mempamerkan pelbagai bentuk ekspresi artistik termasuk media campuran, instalasi, catan, fotografi, audio dan videografi. 

Pameran itu merupakan antara inisiatif di bawah agenda Diplomasi Budaya selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) 2021-2025 terutama dalam memperkasakan jaringan kerjasama strategik dalam sektor pelancongan dan kebudayaan. 

“Penganjuran pameran sejajar dengan visi BIMP-EAGA 2025 yang berteraskan prinsip berdaya tahan, inklusif, mampan dan berdaya saing dari segi ekonomi (R.I.S.E), serta menjadi antara pengisian sempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini,” menurut kenyataan itu.

Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot merasmikan pameran itu semalam, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara Amerrudin Ahmad, kurator dan penggiat seni visual dari negara terlibat.

Menerusi pameran itu, Balai Seni Negara memberi tumpuan kepada refleksi visual seniman empat negara berkenaan, yang menyentuh dimensi ekonomi, hubungan sosial, penjagaan alam sekitar, keilmuan serta paling utama kearifan tempatan dalam wilayah timur ASEAN. 

Wilayah itu merangkumi keseluruhan Brunei; jalur Kalimantan dari Pontianak hingga Balikpapan serta Sulawesi dan Maluku di Indonesia; Sabah, Sarawak dan Labuan selain bahagian selatan Filipina yang meliputi Kepulauan Mindanao serta Palawan.

Pada pemeran itu, seniman Malaysia ialah Josrie Haral, Muslim Mattajim dan Dr Mohamad Faizuan Mat manakala Brunei diwakili Umi Zaty Bazillah Zakaria dan Asilah Maziyah Mohamad Yussof sementara Chester M. Mato, Romy Jones Mata, Leonard B. Ansiong, Brendale Taj Hassan Tadeo dan Alynnah Macla mewakili Filipina. 

Indonesia diwakili Audro Chrustofel Rompas bersama dua kolektif seni iaitu Susur Galur dari Pontianak yang menghimpunkan Muchamad Riduwan, Tito Prastio dan Elfrida Citra Rominggagas serta Muara Suara dari Samarinda terdiri daripada Robby Ocktavian, Prashasti Wilujeng Putri dan Rio Raharjo.

Kurator terlibat ialah Zakaria Omar dari Brunei, I Wayan Seriyoga Parta dan Gusti Hendra Pratama (Indonesia) serta Al Nezzar B. Ali (Filipina).

Sebanyak 12 karya dipamerkan termasuk satu karya istimewa daripada Koleksi Seni Visual Negara oleh seniman Malaysia Yee I-Lann.

Orang ramai dijemput hadir menghayati pelbagai naratif seni dari rantau BIMP-EAGA, sekali gus membuka ruang kepada pemahaman lebih meluas terhadap persamaan dan perbezaan landskap budaya Timur Asia Tenggara. 

Untuk maklumat lanjut pameran, layari laman web www.artgallery.gov.my atau media sosial rasmi Balai Seni Negara. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan