Oleh Kuvineshwaren Nedunjelian
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Malaysia Book of Records (MBR) telah melalui evolusi dalam identitinya sepanjang tiga dekad yang lalu namun masih berpegang teguh dengan misinya untuk meraikan kecemerlangan insan bergelar manusia dalam kalangan rakyat Malaysia.
Ditubuhkan pada 1995, MBR sememangnya sinonim dengan pengiktirafan bagi pencapaian luar biasa dan kini meraikan ulang tahun yang ke-30 dengan penuh rasa bangga.
Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong, yang menerajui organisasi itu sejak 2015, berkata MBR telah berkembang pesat melangkaui fungsinya sebagai sebuah agensi pencatat rekod kepada platform pensijilan yang berpengaruh bagi memperkasakan individu dan syarikat dalam mengukuhkan identiti jenama mereka.
“Perjalanan kami bermula dengan menyaksikan Guinness World of Records yang berkisar tentang pencapaian atau fenomena luar biasa seperti manusia tertinggi, terpantas atau terendah... iaitu apa-apa sahaja yang boleh diukur daripada segi seni bina atau perkara lain.
“Tetapi kini selepas 30 tahun, MBR telah berkembang sebagai platform pengaktifan jenama dan kami melihat ia sebagai sebuah organisasi yang mengesahkan pencapaian ramai individu atau syarikat yang ingin menjenamakan diri mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Bernama.
Wong berkata meskipun misi utama organisasi itu dalam mengiktiraf rekod masih tidak berubah, MBR sedang berusaha menyesuaikan diri dengan landskap media yang kian berubah dengan memfokus kepada kandungan yang bermakna dan memberi inspirasi dalam masa terdekat.
Sejak menyertai MBR, Wong menyelia lebih 5,000 rekod dan satu daripadanya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya sekali gus membuktikan bahawa kekentalan semangat manusia seperti Azzrulkhan Hasrullah Matsah, atau lebih dikenali sebagai Adam, yang kudung kedua-dua kakinya, mampu mengatasi segala halangan.
“Dia merangkak sehingga ke puncak Gunung Kinabalu pada tahun 2016. Itu memerlukan keberanian, ketabahan dan disiplin yang tinggi. Saya sendiri pernah mendaki Gunung Kinabalu. Maksud saya, dengan kaki yang sempurna pun, perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
“Apatah lagi bagi seseorang yang kudung kakinya, yang terpaksa merangkak dan menggunakan tangan... Jadi, saya sentiasa menjadikan dia sebagai contoh iaitu bagaimana semangat kental manusia tidak mudah ditewaskan,” katanya.
Perjalanan hidup Adam yang penuh dengan inspirasi tidak terhenti di situ. Tahun berikutnya, dia sekali lagi menongkah arus cabaran dengan merangkak ke Base Camp di Everest.
Menyedari pengaruh naratif penceritaan sedemikian, Wong berharap MBR dapat menjadi platform yang berkongsi kisah-kisah inspirasi rakyat Malaysia yang luar biasa.
“Saya berpandangan bahawa kami, The Malaysia World Records, sentiasa menggunakan dan bergantung kepada kaedah tradisional dalam melakukan tugasan.
"Jadi, saya rasa kandungan terutama daripada segi penciptaannya adalah sesuatu yang perlu kami terokai dengan lebih mendalam.
“Ini adalah bagi meningkatkan kesedaran tentang apa itu The Malaysia World Records dan apa yang kami lakukan... justeru itu, kandungannya mestilah menarik,” kata beliau.
Wong juga mengakui meskipun MBR sudah mengecapi kejayaan, masih ada sesetengah rekod yang mendapat kritikan namun beliau menegaskan walaupun pasukannya begitu berdedikasi untuk mengekalkan piawaian profesional, ketelusan dan kebolehauditan, adalah mustahil untuk memuaskan hati semua pihak.
Beliau berkata sebagai sebahagian daripada sambutan ulang tahunnya yang ke-30, MBR melancarkan siri televisyen baharu bertajuk Malaysia Luar Biasa yang dihasilkan dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Siri itu, terdiri daripada 13 episod dan dijangka ditayangkan pada Ogos 2025, bakal menampilkan 30 hingga 40 rekod rakyat Malaysia yang luar biasa.
“Apa yang saya inginkan ialah untuk menarik perhatian orang ramai dengan memupuk minat dalam minda mereka.
"Pada masa akan datang, mungkin mereka juga ingin memecahkan sesuatu rekod. Jadi, siri televisyen yang akan datang ini bertujuan untuk mencipta impak yang lebih besar di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial