KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pengurangan subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei, dijangka akan memberi penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM135 juta bagi tempoh tiga bulan, sebelum kawalan harga telur ayam dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pengurangan subsidi itu, menjimatkan perbelanjaan kerajaan iaitu sebanyak RM45 juta sebulan.
Beliau berkata pada masa ini, bekalan telur ayam berada pada tahap stabil dan dijual pada harga yang berpatutan di pasaran.
“Pada 2 Julai lepas, anggaran pengeluaran telur ayam ialah sebanyak 1.75 bilion biji sebulan, manakala keperluan penggunaan domestik dianggarkan sebanyak 1.06 bilion biji. Ini menunjukkan terdapat lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji telur, yang sebahagiannya digunakan bagi tujuan pasaran eksport,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang ingin tahu hasil penjimatan menerusi penyasaran semula subsidi telur ayam serta impaknya terhadap pasaran dan kos sara hidup rakyat secara keseluruhan.
Mohamad berkata pengurangan dan penamatan subsidi berkenaan tidak akan menjejaskan kestabilan industri telur ayam, memandangkan industri itu kini menunjukkan trend positif termasuk penurunan kos makanan ayam.
“Penyasaran semula subsidi dan penamatan kawalan harga telur membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan serta menyalurkan semula peruntukan subsidi kepada inisiatif dan program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Mohamad berkata kadar inflasi tahunan bagi telur ayam mencatatkan penurunan sebanyak 5.3 peratus pada Mei lepas, namun penurunan itu tidak berlaku secara menyeluruh merentas semua gred telur, kemungkinan besar disebabkan fasa penyesuaian harga pasaran selepas pelaksanaan subsidi bersasar.
Bagi memastikan bekalan dan harga telur ayam kekal stabil di pasaran, Mohamad berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), akan melaksanakan pemantauan rapi berkaitan perkara itu.
“Langkah ini bertujuan bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan serta mencegah aktiviti pencatutan yang boleh membebankan pengguna,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial