KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dibangkitkan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), atas pertimbangan faktor usia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun beliau percaya kesalahan itu wujud dan besar, keputusan Jemaah Menteri adalah untuk tidak mengambil tindakan lanjut memandangkan Dr Mahathir kini sudah berusia 100 tahun.
“Kita ambil keputusan kerana dia melibatkan mantan Perdana Menteri yang umurnya 100 tahun. Apakah dia tak salah? Dia salah. Apakah perlu ambil tindakan?… di (mesyuarat) Jemaah Menteri saya bersetuju, jangan ambil tindakan. Kalau ambil tindakan, Kota Bharu juga yang akan jerit kata kita tidak adil.
“… umur dah 100 tahun… salah besar, tetapi kita tak payahlah teruskan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu mengapa RCI Pulau Batu Puteh ditarik balik.
Anwar berkata walaupun kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan, ia tidak bermaksud kesalahan itu tidak berlaku.
“Bukan tuduh, itu memang perkara yang benar-benar berlaku,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap Dr Mahathir.
Tindakan berkenaan merupakan antara yang disyorkan RCI dalam laporan setebal 217 muka surat yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
Menurut laporan tersebut, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas bekas perdana menteri itu mengikut Seksyen 415 (b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun sama dan juga di bawah Seksyen 418 kanun sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial