Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Jerantut Square Dijangka Siap Tahun Hadapan - Wan Rosdy

22/07/2025 04:06 PM

JERANTUT, 22 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan bersepadu Jerantut Square dijangka siap pada tahun depan, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata projek bernilai RM130 juta itu akan memberi manfaat kepada rakyat Pahang, khususnya di Jerantut dengan jangkaan 1,000 peluang pekerjaan secara langsung dan 5,000 secara tidak langsung.

“Manfaatnya sangat banyak. (Jerantut Square) dilengkapi dengan ruang pejabat dan kedai serbaneka. Kita (Kerajaan Pahang) juga telah berjumpa dengan syarikat-syarikat perniagaan (untuk membuka perniagaan di sini),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan 60 Tahun Penubuhan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang di Pahang Rest House @ Jerantut di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata projek berkenaan juga mampu meningkatkan ekonomi di kawasan Pahang Barat, selain akan memberi keutamaan kepada usahawan yang ingin berniaga di kawasan terbabit.

“Sebab itu kita mengalu-alukan mana-mana usahawan yang ingin berniaga di sebelah Pahang Barat ini. Kita beri keutamaan dan pastikan apa yang mereka rancang itu mendapat kemudahan atau ‘fast track’,” katanya.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut merasmikan Pahang Rest House @ Jerantut yang merupakan kemudahan penginapan mesra pelancong yang telah dinaik taraf.

Beliau turut menyeru kepada pelancong yang ingin ke Taman Negara agar menginap di pusat penginapan berkenaan yang dilengkapi dengan bilik yang cantik serta dewan kondusif.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan