KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Allianz Malaysia Berhad hari ini mengambil inisiatif menganjurkan forum media bertujuan untuk membincangkan cabaran serta meningkatkan lagi aspek keselamatan pekerja p-hailing.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia (Allianz Malaysia) Sean Wang berkata ini kerana sumbangan, pengorbanan serta aspek keselamatan golongan itu kurang diberi perhatian pelbagai pihak.
“Untuk itu, Allianz Malaysia komited menjalin kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan platform p-hailing terkemuka dalam membincangkan cabaran yang dihadapi oleh pekerja p-hailing.
“Pada tahun lepas, menurut indeks kematian jalan raya di Malaysia, penunggang motosikal menyumbang 67.5 peratus dan untuk itu sudah tiba masanya kita mengambil langkah tambahan untuk mengubah statistik ini,” katanya dalam ucapan pada Forum Allianz Malaysia 2025, di sini.
Forum berkenaan dihadiri Pengarah Pusat Faktor Manusia dan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya (HUB) MIROS Azhar Hamzah, Pengarah Operasi Foodpanda Malaysia Shubham Saran, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor dan Pengurus Hal Ehwal Awam Lalamove Malaysia Abhishek Menon.
Wang berkata Allianz Malaysia bukan sahaja komited untuk menyediakan penyelesaian insurans tetapi dalam masa sama juga aktif memberi sumbangan kepada kesejahteraan komuniti yang melangkaui keuntungan.
Beliau berkata dua program latihan telah diadakan dengan kerjasama Kelab Marshal Keselamatan Jalan Raya bagi memberi pendedahan serta meningkatkan lagi kemahiran dan pengetahuan bagi meningkatkan keselamatan pekerja p-hailing.
“Program pertama memberi tumpuan kepada latihan keselamatan penunggang dan kelangsungan hidup dalam kecemasan jalan raya bersama syarikat p-hailing manakala program kedua disesuaikan untuk pelajar universiti awam dan swasta, bagi memupuk budaya kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Sementara itu, Azhar berkata daripada 600,000 kemalangan yang direkodkan tahun lepas, 70,000 kemalangan adalah membabitkan penunggang motosikal dengan lebih 4,000 kematian dan untuk mengatasinya, ia memerlukan kerjasama semua pihak.
“Memberi didikan keselamatan dari peringkat awal seperti pemakaian topi keledar dan tali pinggang bagi memupuk budaya keselamatan yang lebih baik dari usia muda,” katanya.
Shubham Saran dan Rashid pula berkongsi nada sama bahawa usaha dan pengorbanan pekerja p-hailing termasuk menjalankan tugas dalam keadaan cuaca buruk, kerap kali tidak mendapat penghargaan sewajarnya daripada masyarakat.
“Keselamatan mesti sentiasa diutamakan. Oleh itu, setiap orang mempunyai peranan untuk dimainkan, kita tidak seharusnya memberi tekanan kepada penghantar terutamanya semasa cuaca buruk kerana keselamatan adalah tanggungjawab bersama dalam ekosistem yang saling berhubung ini,” kata Shubham Saran.
“Menjamin keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan ia bermula dengan sikap empati. Penghantar makanan adalah manusia yang berusaha sedaya upaya untuk menghantar pesanan dengan selamat. Namun begitu, kami sentiasa mengingatkan penghantar makanan kami bahawa keselamatan perlu didahulukan. Jangan sesekali mengambil risiko yang tidak perlu semata-mata untuk menyelesaikan penghantaran,” kata Rashid.
Dalam pada itu, Abhishek pula berpendapat bahawa masyarakat perlu dipupuk dengan perasaan empati terhadap cabaran yang dihadapi pekerja p-hailing.
“Ia bermula dengan pendidikan pelanggan, memberitahu mereka bahawa kelewatan tidak selalu menjadi kesalahan penghantar barangan dan kami sudah melihat pelanggan menunjukkan penghargaan semasa cuaca buruk, jadi sikap empati itu wujud. Kita hanya perlu memupuknya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial