KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pengumuman beberapa inisiatif bagi meringankan kos sara hidup rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan Kerajaan MADANI menepati janjinya, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.
Beliau berkata penurunan harga minyak RON 95 kepada RM1.99 seliter, yang menjadikannya antara terendah di dunia menunjukkan keprihatinan Anwar dalam menangani isu kos sara hidup walaupun berdepan kekangan kewangan.
“Saya mewakili 22,000 keluarga KPKT ingin mengucap terima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman berita baik pagi tadi. Ini terbukti bahawa janji ditepati… Apabila Datuk Anwar berkata jika beliau naik (sebagai Perdana Menteri), harga minyak turun, kali ini betul-betul turun.
“Walaupun dengan kekangan kewangan ketika ini, kita mampu menurunkan harga minyak, kekalkan harga tol, beri SARA (Sumbangan Asas Rahmah) dan memberikan pelbagai insentif,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2025 dan Pameran Senibina Antarabangsa, Reka Bentuk Dalam Bangunan (ARCHIDEX) di sini hari ini.
Nga berkata pemberian RM100 secara sekali beri kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas menerusi SARA turut mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam membantu bukan sahaja golongan B40 tetapi juga M40 yang kerap terpinggir daripada bantuan itu.
Beliau berkata bantuan yang memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion itu dijangka mempunyai impak berganda apabila kesan ekonominya lebih besar, manakala penangguhan peningkatan kadar tol pula langkah bersifat antiinflasi.
Nga berkata Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha-usaha membina negara, sekali gus merayu kepada semua rakyat supaya bersatu untuk membantu Malaysia bangkit semula sebagai negara yang disanjungi di pentas global.
“Kita semua tahu, kadangkala kita dalam kerajaan dikehendaki membuat beberapa keputusan yang tidak popular dan amat sukar, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mengambil berat tentang generasi akan datang.
“Saya jangka ada lagi berita yang akan menggembirakan dalam Belanjawan 2026, yang dijadualkan dibentangkan pada Oktober ini, jadi nantikan,” katanya.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan beberapa inisiatif utama sebagai tanda penghargaan Kerajaan MADANI kepada rakyat, termasuk pemberian RM100 secara sekali beri di bawah program SARA, penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya dan subsidi harga RON95 yang lebih rendah pada RM1.99 seliter.
Sementara itu, Nga berkata Kerajaan MADANI juga akan meneruskan langkah reformasi perumahan menerusi beberapa inisiatif seperti PR1MA, perumahan mampu milik dan kos rendah, namun ia akan mengambil tempoh yang lama.
“Anda perlu memberi kami sekurang-kurangnya tiga penggal untuk kami merealisasikan visi kami… Sekarang baru masuk setengah penggal, jika bagi penggal kedua, penggal ketiga Kerajaan MADANI ada tiga penggal, 15 tahun kami akan tunaikan apa yang telah kami janjikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial