Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Platform e-dagang Tawar BNPL Diseru Kawal Selia Kendiri - Fuziah Salleh

24/07/2025 09:48 PM

SHAH ALAM, 24 Julai (Bernama) -- Penyedia platform menawarkan pembelian atas talian yang menyediakan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dinasihatkan untuk melakukan kawal selia kendiri supaya hak pengguna kekal terjaga. 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata pendekatan itu perlu dilakukan sementara menunggu undang-undang yang lebih lengkap dapat disediakan untuk dibawa ke Parlimen. 

“Nasihat saya kepada pemilik platform untuk sama-sama memastikan platform itu digunakan dengan baik dan ada integriti sebab undang-undang e-dagang ini belum masuk Parlimen. Jadi, dalam keadaan ini sama-sama kita kawal selia kendiri, kita lindungi pengguna sama-sama kita bawa budaya yang baik,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penutup TikTok Shop Summit dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 di sini hari ini.  

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dilaporkan berkata jumlah bilangan transaksi BNPL meningkat kepada RM102.6 juta pada separuh pertama tahun ini daripada RM83.8 juta pada separuh kedua 2024. 

Lim berkata peningkatan mendadak dalam transaksi BNPL mendedahkan pengguna kepada risiko terutamanya golongan berpendapatan rendah dan kurang celik kewangan kepada keberhutangan tidak terkawal.

Beliau berkata jumlah nilai transaksi BNPL meningkat kepada RM9.3 bilion pada separuh pertama tahun ini daripada RM7.1 bilion pada separuh kedua tahun lepas, mencatatkan peningkatan sebanyak 31 peratus dengan jumlah akaun BNPL yang aktif juga meningkat kepada RM6.5 juta pada akhir Jun lepas daripada RM5.1 juta akaun pada akhir tahun 2024.

Mengulas mengenai pemberian RM100 kepada setiap rakyat berumur 18 tahun dan ke atas, Fuziah berkata ia hanya boleh digunakan di kedai yang ditetapkan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi mengelakkan salah guna. 

Beliau berkata penguatkuasaan juga akan dijalankan secara berterusan bagi mengelakkan berlaku kenaikan harga di kedai-kedai yang terlibat. 

“Seseorang itu perlu menggunakan kad pengenalan mereka dan beli di kedai yang ditentukan, ada 4,100 kedai di seluruh negara dan mereka boleh beli barang yang disenaraikan ini bagi mengelakkan salah guna duit itu. 

"Kadang-kadang ada yang dapat dia beli rokok dan tak beli lampin atau susu bayi. Jadi, ini cara untuk kita kawal bantuan yang diberikan betul-betul untuk barangan yang perlu sahaja,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan