Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Projek Infrastruktur Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun Bermula Lebih Awal - MADA

26/07/2025 01:55 PM

ALOR SETAR, 26 Julai (Bernama) -- Projek pembangunan infrastruktur utama di bawah Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun di Kawasan Muda di Kedah telah dijalankan lebih awal berbanding tarikh ditetapkan, iaitu pada 1 Ogos.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Datuk Dr Ismail Salleh berkata ini menunjukkan tahap keseriusan dan komitmen yang tinggi untuk membantu peladang di Kawasan Muda.

“Projek pembangunan itu merangkumi dua komponen utama, iaitu pembinaan dan penyelenggaraan 15 Blok Sistem Pengairan Tersier (Projek 1) serta Projek Pemulihan Menyeluruh Empangan Pedu Fasa 1 (Projek 2), yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah sekitar RM1 bilion.

“Kesemua 15 blok ini akan membekalkan air kepada 560 hektar sawah. Mengikut jadual asal, sepatutnya bermula 1 Ogos tetapi pihak kontraktor masuk lebih awal untuk mulakan projek ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja ke sebuah projek utama pembangunan infrastruktur di bawah Program Penanaman Padi Lima Musim Dalam Tempoh Dua Tahun, di Kawasan Muda di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam dekat Jitra.

Beliau berkata program penanaman padi itu akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara, sekali gus akan mengurangkan kebergantungan negara kepada import dan memperkukuh kadar sara diri beras negara.

Sementara itu, MADA memaklumkan lawatan Perdana Menteri itu merupakan kunjungannya kali kedua ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuan semasa pembangunan infrastruktur pertanian, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh bekalan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.

“Projek yang sedang dilaksanakan ini memberi tumpuan kepada menaik taraf sistem pengairan dan saliran serta pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam sektor penanaman padi. Ia bukan sahaja menyokong intensifikasi aktiviti penanaman, malah mampu meningkatkan hasil produktiviti dan menambah pendapatan pesawah.

“Dengan pelaksanaan lima musim penanaman dalam tempoh dua tahun, negara dijangka mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import dan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi komoditi strategik ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai projek pembinaan pagar penghadang dan kerja penyelenggaraan di terusan Sungai Korok, Dr Ismail berkata MADA dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengadakan perbincangan awal bagi meletakkan penghadang jalan di situ seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

Pada 8 Julai lepas, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan meneliti cadangan membina pagar penghadang dan memasang lampu jalan di sepanjang laluan berhampiran Sungai Korok di sini, susulan tragedi mengorbankan enam beranak selepas kereta dinaiki mereka terbabas ke dalam sungai itu pada 5 Julai.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan