KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Koperasi Bernama Berhad (Koperasi Bernama) mengukuhkan kerjasama strategiknya dengan MK Textiles Holdings Sdn Bhd (MK Curtain) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas aktiviti perniagaan serta menawarkan manfaat pembelian produk kelengkapan rumah secara ansuran dan diskaun kepada ahli koperasi.
Pengerusi Koperasi Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata kerjasama itu merupakan satu daripada inisiatif koperasi untuk mengembangkan aktiviti perniagaan serta memberikan peluang kepada ahli menikmati kemudahan pembelian barangan dengan harga yang berpatutan dan berkualiti.
“Usaha ini bukan sahaja membuka akses kepada barangan keperluan rumah yang mampu milik dan berkualiti, malah memberikan nilai tambah kepada keahlian dalam koperasi.
“Saya mengalu-alukan supaya ramai lagi petugas Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) menjadi ahli koperasi kerana belum 100 peratus warga Bernama menyertainya dan program seperti ini merupakan antara kaedah kami menarik penyertaan secara sukarela,” katanya kepada Bernama selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di Wisma Bernama, di sini hari ini.
Turut hadir Pengasas dan Pengerusi MK Curtain Group Datuk Dr Calvin Khiu dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita Ekonomi) Bernama Azlina Aziz.
Sementara itu, Khiu berkata pihaknya berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Koperasi Bernama dalam usaha menawarkan manfaat berganda kepada ahli koperasi.
“Kerjasama ini strategi situasi yang saling menguntungkan, ahli koperasi dapat menikmati harga istimewa untuk langsir dan hiasan rumah, kami pula berpeluang mempromosikan jenama kami dalam kalangan warga Bernama,” katanya.
MoU ini turut merangkumi pelaksanaan pameran, tempahan khas dan promosi eksklusif kepada warga Bernama dalam program yang dianjurkan oleh koperasi bersempena dengan bazar bulanan Koperasi Bernama.
Selain itu, Koperasi Bernama yang ditubuhkan pada 29 Mac 2014 membuka ruang kepada mana-mana syarikat luar atau koperasi-koperasi di Malaysia yang berminat untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai peluang perniagaan termasuk peruncitan, latihan media dan digital, gaya hidup dan pelbagai perkhidmatan lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial