SEREMBAN, 28 Julai ( Bernama) -- Sebanyak 282 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Rembau masih kosong dan permohonan masih dibuka kepada mereka yang layak hingga 10 Ogos ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri J. Arul Kumar.
Beliau berkata projek di Mukim Chembong itu melibatkan keseluruhan 452 unit rumah teres dengan 166 daripadanya telah ditawarkan kepada pemohon yang layak dan permohonan boleh dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi: https://sprn.kpkt.gov.my.
“Pemohon dan pasangan mestilah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan keutamaan kepada suami isteri yang berpendapatan isi rumah bawah RM5,000 sebulan serta tidak pernah memiliki rumah atas nama pemohon atau pasangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Arul berkata skim perumahan itu ditawarkan melalui kaedah sewa beli pada harga RM40,000 seunit dengan bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM250 sahaja.
Beliau berkata projek tersebut merupakan inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama kerajaan negeri untuk menyediakan akses perumahan kepada golongan berpendapatan rendah.
Media sebelum ini melaporkan, PPR Rembau yang melibatkan kos pembinaan RM91.2 juta dan sedia diduduki itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sokongan seperti surau, dewan komuniti, gerai, taman permainan serta ruang komuniti yang kondusif dan inklusif untuk semua penghuni.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu berkata PPR berkenaan yang mula dibangunkan pada 4 Mac 2020 telah disiapkan sepenuhnya dan diserahkan kepada Jabatan Perumahan Negara pada 27 Feb lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial