Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Teliti Kewajipan Label Kandungan AI Bagi Kawal Maklumat Palsu

29/07/2025 12:52 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan atau diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu dalam media sosial.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara pelabelan yang dicadangkan ialah AI Generated atau AI Enhanced bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang menggunakan teknologi AI.

“Kita lihat langkah ini boleh dilaksanakan melalui Akta 866 atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) dan kita jangkakan setelah beberapa peraturan disiapkan oleh pihak MCMC, insya-Allah ONSA dapat berkuat kuasa pada hujung tahun ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung langkah kementerian menangani lambakan kandungan AI deepfake dalam media sosial.

Menjawab kebimbangan terhadap kandungan deepfake yang menyalahgunakan wajah atau suara tokoh terkenal, Fahmi berkata kawal selia terhadap teknologi generatif seperti AI kini giat dibincangkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

“Platform-platform media sosial mempunyai satu tanggungjawab … mereka tidak boleh membiarkan kandungan-kandungan bersifat deepfake ini disebar dengan sedemikian rupa,” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Suhaimi berhubung prosedur siasatan MCMC terhadap aduan berkait kenyataan-kenyataan melalui media sosial, Fahmi menjelaskan siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula daripada penerimaan laporan maklumat pertama (FIR) sehinggalah rujukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Bagi kes yang disiasat, satu notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 boleh dikeluarkan terhadap individu berkaitan … sekiranya terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan individu berkenaan dengan kesalahan yang disiasat, peranti komunikasi milik individu itu boleh disita, sama ada oleh MCMC atau polis,” katanya.

Beliau berkata semua proses siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan prinsip undang-undang ditegakkan dengan adil.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan