Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Isu Sempadan: Kerajaan Persekutuan Serius Dapatkan Pandangan Sarawak, Sabah

30/07/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Penglibatan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam Rundingan Tahunan ke-13 bersama Indonesia  membuktikan kerajaan Persekutuan serius mendapatkan pandangan kerajaan negeri, terutama melibatkan isu sempadan termasuk berkaitan Laut Sulawesi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata penglibatan kerajaan negeri serta agensi berkaitan dalam setiap proses rundingan dan perbincangan juga menunjukkan kerajaan Persekutuan mengamalkan pendekatan keseluruhan kerajaan. 

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Luar sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan berhubung hal persempadanan maritim Malaysia.

“Dalam hal ini, perbincangan berkaitan sempadan maritim berlandaskan prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemah. Kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci, menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) sama ada kerajaan bercadang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dalam sebarang rundingan berkaitan isu Laut Sulawesi supaya kepentingan negeri dipelihara sekali gus memastikan peluang ekonomi dapat dinikmati rakyat Sabah.

Menjawab soalan tambahan Bung Moktar mengenai hasil dan impak perbincangan itu dalam skop melibatkan negeri Sabah, Mohamad berkata perbincangan tidak hanya tertumpu pada hal ekonomi maritim, malah turut melibatkan perkara meliputi kepentingan Indonesia dan Sabah.

“Ini terutamanya tentang akses pendidikan, CLC (Community Learning Centre) yang banyak di Sabah … keduanya, berbincang juga soal perdagangan di sempadan, water trade di antara Sabah dan Indonesia,” katanya.

Mengenai soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkaitan isu melibatkan ahli perniagaan Indonesia Mohd Riza Chalid yang didakwa berada di negara ini, Alamin mengulangi pendirian Malaysia bahawa tiada perlindungan diberikan kepada sesiapa pun dalam proses undang-undang.

“Yang penting integriti Malaysia dan kerjasama dengan Indonesia untuk kita pelihara. Soal beliau (Mohd Reza) itu soal undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Riza yang dinamakan pihak berkuasa Indonesia sebagai suspek kes rasuah berkaitan pengurusan minyak mentah PT Pertamina bagi tempoh 2018 hingga 2023, didakwa berada di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan