Ad Banner
 AM > BERITA

Kolej Yayasan Felda Terus Perkasa TVET, 534 Graduan Tamat Pengajian

30/07/2025 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Sebanyak 534 graduan Kolej Yayasan Felda (KYF) sesi 2023-2024 diraikan dalam Majlis Konvokesyen KYF ke-26 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini. 

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata graduan menerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Kemahiran Malaysia dalam pelbagai jurusan antaranya Perkhidmatan Penyediaan dan Pembuatan Makanan, Pengurusan Pastri dan Roti, Pengurusan Pentadbiran dan Penyelia Pembantu Dialisis.

Beliau berkata majlis konvokesyen kali ini juga lebih bermakna apabila diadakan serentak dengan tiga acara mega negara Karnival Mega 3 Dimensi (KM3D).

“KM3D adalah gabungan Hari Peneroka FELDA, Karnival Usahawan Desa dan Showcase Satu Daerah Satu Industri. Gabungan ini mencerminkan kekuatan sinergi antara pembangunan pendidikan, keusahawan dan warisan industri desa negara,” katanya selepas majlis konvokesyen itu.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Shabery berkata sebagai institusi pendidikan berteraskan kemahiran, KYF sentiasa komited melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi realiti pasaran kerja dengan menawarkan program bukan sahaja mengikut keperluan industri berlandaskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) malah dilengkapi dengan pelbagai inisiatif latihan.

“Antara latihan yang disediakan ialah program sepenuh masa di Kolej-kolej Yayasan Felda, Program Akademi Dalam Industri bersama rakan kolaborasi industri, Program Persijilan melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu dan Program Modular untuk pelbagai lapisan masyarakat.

“Usaha ini membuktikan komitmen Yayasan Felda dalam memperluas akses pendidikan kemahiran kepada semua golongan termasuk lepasan sekolah, belia dan individu berpengalaman,” katanya sambil menambah setakat kini sebanyak 31,633 alumni telah dilahirkan KYF dan berkhidmat dalam pelbagai sektor.

Beliau berkata sejak awal penubuhan FELDA, agensi itu telah memainkan peranan penting sebagai platform mobiliti sosial dan pendidikan bagi masyarakat luar bandar termasuk menerusi penubuhan KYF.

“Melalui pelbagai inisiatif pendidikan termasuk penubuhan KYF, Felda telah membuka ruang kepada anak-anak peneroka dan komuniti FELDA untuk mendapat ilmu pengetahuan, kemahiran teknikal dan latihan profesional, sekali gus meningkatkan taraf hidup secara menyeluruh.

“Ini membuktikan bahawa FELDA bukan sahaja mencorak pembangunan tanah tetapi turut membina ladang minda yang subur dengan ilmu dan bakat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan