SEREMBAN, 30 Julai (Bernama) -- Pemilik premis di Negeri Sembilan diminta mengambil tindakan segera menurunkan Jalur Gemilang dan bendera negeri yang lusuh atau koyak dan menggantikan dengan yang baharu, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin menegaskan setiap lapisan masyarakat di negeri ini harus menzahirkan rasa hormat terhadap bendera dan memelihara imej negara dengan mengibarkan bendera sebagai tanda patriotisme.
"Kalau bendera sudah uzur dan kusut, ganti dengan baharu...kita perlu ada rasa hormat dan sayangi negara, janganlah kibarkan bendera rosak.
"Jadi sempena bulan kemerdekaan ini, semua rakyat di negeri ini disarankan membeli sendiri bendera dan mengibarkannya...jangan hanya menunggu bendera percuma baru nak kibar,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan segelintir pemilik premis di bandar ini yang masih mengibarkan bendera lusuh dan koyak hingga mencacatkan pandangan serta tidak mencerminkan semangat patriotisme.
Aminuddin berkata sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, kerajaan negeri akan menganjurkan program Kibarkan Jalur Gemilang bermula 1 Ogos hingga 16 Sept ini.
Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata Kerajaan Negeri menggesa semua syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) agar mengambil tindakan segera terhadap kabel yang terbiar di kawasan penyelenggaraan masing-masing supaya tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat.
Beliau meminta semua syarikat telekomunikasi agar meneliti perkara tersebut dan menanggalkan mana-mana kabel yang tidak lagi digunakan bagi mengelakkan berlaku kecurian serta kerosakan lain.
"Sebagai contoh, ada kes kecurian kabel bawah tanah, kemudian mereka meninggalkan lubang saluran bawah tanah itu secara terbuka yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal.
"Apabila kita buat laporan mereka (syarikat Telco) tidak baiki segera, jadi perkara ini perlu dilihat semula dan pihak bertanggungjawab perlu sentiasa pantau,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial