Ad Banner
 AM > BERITA

Program Pupuk Patrotisme, Perpaduan Di Melaka Digerakkan Sejak Pertengahan Julai

31/07/2025 08:31 PM

ALOR GAJAH, 31 Julai (Bernama) -- Pelbagai program bagi memupuk semangat patrotisme dan perpaduan sempena Bulan Kebangsaan telah digerakkan di peringkat Komuniti MADANI di Melaka sejak pertengahan bulan ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata program berkenaan dilaksanakan melibatkan semua peringkat masyarakat antaranya pelajar sekolah dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

"Di Melaka, kita ada 84 Komuniti MADANI yang telah menggerakkan pelbagai program atau aktiviti bagi menyemarak dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi sejumlah peruntukan yang disalurkan Jabatan Penerangan dan Kementerian Komunikasi.

"Ia melibatkan pelbagai bentuk program seperti pertandingan pidato, pengisahan kemerdekaan termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelepasan KMJG 2025 dari Melaka ke Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan program itu juga diperluaskan ke peringkat agensi dan jabatan kerajaan serta swasta di negeri itu agar lebih ramai dapat dilibatkan dalam sambutan Bulan Kebangsaan.

Fairul Nizam berkata premis perniagaan dan kedai persendirian juga digalakkan memasang Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Sementara itu, Fairul Nizam berkata inisiatif kibar Jalur Gemilang di premis kerajaan, swasta dan persendirian termasuk rumah kediaman perlu mematuhi etika ditetapkan.

Beliau berkata Jalur Gemilang yang dipasang perlu dipastikan dalam keadaan bersih, tidak lusuh atau koyak serta tidak terbalik seperti yang berlaku sebelum ini.

Terdahulu, KMJG 2025 hari ini meneruskan jelajah dari Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Rembia di sini untuk ke negeri ketiga iaitu Negeri Sembilan.

Fairul Nizam yang mengetuai konvoi berkenaan menaiki kereta bersama lebih 50 kenderaan pelbagai jenis termasuk motosikal berkuasa tinggi melibatkan penyertaan beberapa jabatan dan agensi kerajaan itu akan berhenti di Muzium Rembau dan diteruskan di beberapa lokasi di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan