KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pembangunan sosial yang terangkum dan responsif terus diberi keutamaan oleh kerajaan MADANI dalam usaha meningkatkan darjat kehidupan rakyat menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Menurut dokumen RMK13 dikeluarkan Kementerian Ekonomi hari ini, usaha itu dipergiat menerusi empat langkah iaitu dengan menangani beban kos sara hidup, merekayasa sistem sosial berteraskan insan MADANI, mempertingkat mutu kehidupan serta memperkasakan golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar.
"Strategi dan inisiatif menaikkan lantai yang dilaksanakan dalam RMK13 dijangka dapat mengekalkan paras guna tenaga penuh dan meningkatkan sumbangan agihan pampasan pekerja sebanyak 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030.
“Selain itu, strategi dan inisiatif ini juga dapat menyumbang kepada pencapaian kedudukan ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia dan 60 peratus kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh selepas 10 tahun Ekonomi MADANI diperkenalkan," menurut dokumen itu.
Dalam menangani beban kos sara hidup, kerajaan antara lain memfokuskan kepada isu kenaikan kos makanan dan akan mengatasinya secara menyeluruh dengan menambah baik infrastruktur, memperkukuh rantaian bekalan makanan dan sektor peruncitan serta menyediakan platform bagi meningkatkan ketelusan harga.
"Langkah penguatkuasaan juga akan dipergiat, manakala akta berkaitan akan disemak semula bagi membendung aktiviti memanipulasi harga.
"Selain itu, inisiatif bagi menawarkan barangan dan perkhidmatan, terutama produk makanan pada harga yang berpatutan seperti Program Jualan Rahmah MADANI akan diperluas meliputi lebih banyak lokaliti bersesuaian, terutama di kawasan luar bandar," menurut dokumen itu.
Perkhidmatan kesihatan juga akan ditambah baik melalui inisiatif Rakan KKM sebagai pilihan kepada syarikat swasta untuk mendapatkan rawatan perkhidmatan berbayar di fasiliti kesihatan awam, selain produk insurans atau takaful kesihatan akan diperkenalkan bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan pada harga berpatutan.
Lebih banyak perumahan mampu milik yang berkualiti juga akan disediakan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar melalui Program Residensi MADANI dan Program Residensi Rakyat, selain skim sewa untuk beli akan diperluas.
"Penyelarasan gaji secara menyeluruh juga akan dilaksanakan termasuk semakan semula gaji minimum secara berkala, penetapan gaji permulaan siswazah yang turut merangkumi lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelaksanaan penuh Dasar Gaji Progresif (DGP).
"Pihak swasta juga akan digalakkan untuk menawarkan gaji wajar minimum bagi memastikan golongan pekerja memperoleh gaji yang setimpal dengan kos sara hidup," menurut dokumen itu.
Dokumen itu memaklumkan bahawa bagi merekayasa sistem sosial berteraskan insan MADANI, kerajaan antara lain akan memberi tumpuan kepada reformasi pendidikan termasuk mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun serta memulakan pendidikan rendah pada usia enam tahun.
"Selain itu, bahasa Inggeris akan dijadikan sebahagian daripada bahasa pembelajaran dan perhubungan bagi pelajar tahap satu, manakala pembelajaran bahasa tambahan akan diperluas di sekolah rendah," menurut dokumen tersebut.
Mutu kehidupan rakyat pula akan dipertingkatkan melalui usaha mengukuhkan keterjaminan makanan, melaksanakan reformasi perumahan, kesihatan dan buruh, memelihara kesihatan bumi, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan serta mempersiapkan negara menuju negara tua.
Sementara itu, pelaksanaan agenda pemerkasaan Bumiputera akan terus dipergiat melalui pendekatan keseluruhan negara bagi meningkatkan penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam usaha memperkasakan golongan sasar.
Menurut dokumen berkenaan bagi tujuan ini, unit pemerkasaan Bumiputera di semua kementerian akan diperkukuh serta program peningkatan kapasiti dan sokongan pembiayaan oleh agensi mandat Bumiputera, perbadanan kemajuan ekonomi negeri dan Lembaga Kemajuan Wilayah akan ditambah baik.
"Taraf hidup masyarakat Orang Asli akan turut ditingkatkan dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Dasar Pembangunan Orang Asli (DPOA) dan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Selain itu, Lembaga Adat akan diwujudkan bagi meningkatkan kecekapan kepimpinan masyarakat Orang Asli.
"Pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak akan terus diperkukuh melalui inisiatif seperti pemerkasaan modal insan, peningkatan infrastruktur dan kemudahan asas serta penyediaan sokongan bagi membolehkan pembangunan tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR)," menurut dokumen itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial