Ad Banner
 AM > BERITA

Pahang Lancar Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan Kepada 10,000 Veteran ATM, PDRM

31/07/2025 07:50 PM

KUANTAN, 31 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pahang melancarkan Kad Kesihatan Kasih Makmur Edisi Pahlawan bagi 10,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menetap di Pahang sempena Hari Pahlawan hari ini. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata setiap penerima akan menerima manfaat kad kesihatan bernilai RM500 seorang bagi kegunaan rawatan perubatan, pembelian ubat-ubatan, saringan kesihatan dan perkhidmatan di klinik swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

“Ini boleh juga mengurangkan masa untuk mereka beratur di hospital kerajaan. Saya harap mereka dapat menggunakan kad ini dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Minum Petang Veteran ATM dan PDRM sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di sini hari ini. 

Beliau berkata inisiatif yang melibatkan peruntukan RM5 juta itu akan bermula tahun hadapan. 

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga meluluskan peruntukan RM50,000 masing-masing kepada Persatuan Veteran ATM dan Persatuan Veteran PDRM bagi menjalankan aktiviti. 

“Saya beri jaminan bahawa veteran tentera dan polis di negeri kita ini tidak akan dipinggirkan dan kita akan lihat kebajikan mereka dari semasa ke semasa. Inisiatif ini tidak ada maknanya jika nak dibandingkan dengan pengorbanan mereka semasa mereka berjuang menjaga keamanan negeri dan negara kita,” katanya.

Hari Pahlawan disambut pada 31 Julai setiap tahun bagi menghargai jasa anggota keselamatan yang berkorban untuk negara.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan