LAHAD DATU, 3 Ogos (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan terus memainkan peranan luar biasa untuk mengarusperdanakan ilmu, membina potensi masyarakat serta menyampaikan khidmat secara inklusif dan holistik.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata KEMAS sebagai satu sayap di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), telah merangka pelbagai program transformatif untuk rakyat, khususnya dalam membangunkan keusahawanan komuniti.
“Kita memberikan galakkan bantuan, pinjaman termasuk penyeliaan terhadap mewujudkan lebih ramai para usahawan, kita mahu melibatkan para belia dalam bidang keusahawanan.
“Misalnya permulaan di pusat aktiviti KEMAS di Kampung Sapagaya ini ada bengkel menjahit, kita bantu para wanita, golongan ibu, belia melalui bengkel ini,” katanya ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa MADANI @ Lahad Datu di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata tahun ini sahaja, KKDW telah memperkenalkan 42 pengubah keadaan bagi memperkukuh modal insan termasuk pembaharuan dalam sistem pendidikan Tabika KEMAS.
Beliau berkata KKDW turut merangka strategi pemerkasaan pendidikan desa melalui inisiatif utama antaranya mewujdkan pratahfiz tabika KEMAS, TVET tahfiz dan pendidikan digital merentas desa iaitu smart classroom@KEMAS serta melahirkan huffaz cilik melalui program PeliTa@KEMAS.
Ahmad Zahid berkata program terbaharu yang sedang dilaksanakan ialah Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS untuk memberi peluang kepada anak-anak autisme, yang akan dimulakan di Melaka.
“Kita juga akan perluaskan tadika seumpama ini ke seluruh negara, azam kita ialah setiap satu daerah akan ada satu kelas tadika autisme di bawah anjuran KEMAS, bagi membantu ibu bapa berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata lebih 50 peratus tabika KEMAS di seluruh negara akan dinaik taraf bagi memastikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti.
Pada program hari ini, Ahmad Zahid turut menyampaikan bantuan peralatan sokongan pengukuhan keusahawanan luar bandar (SPKLB), serta merasmikan bangunan tabika dan kelas kemahiran KEMAS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial