Ad Banner
 AM > BERITA

Isu Laut Sulawesi Dibincang Berlandaskan Undang-undang, Sejarah - Anwar

03/08/2025 03:08 PM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Perbincangan mengenai isu berkaitan Laut Sulawesi antara Malaysia dengan Indonesia dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang antarabangsa, fakta sejarah dan mengambil kira persetujuan Sabah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata hubungan baik antara Kuala Lumpur dan Jakarta perlu dipelihara dalam langkah menyelesaikan isu sempadan maritim tersebut, memandangkan Indonesia ialah negara sahabat serumpun sejak sekian lama.

Malah, Anwar berkata Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga merupakan sahabat peribadinya, justeru beliau mahu isu itu dibincangkan secara harmoni dan mesra dalam semangat kekeluargaan.

“Kita kena berbincang ikut undang-undang, sejarah dan mesti dipersetujui oleh kerajaan negeri (Sabah) dan dibawa ke Dewan Undangan Negeri (Sabah). Itu yang kita perlukan dengan syarat rasmi,” kata beliau ketika berucap merasmikan majlis penutup Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2025 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Anwar berkata Malaysia telah berjaya menyelesaikan beberapa isu sempadan dengan Indonesia termasuk melibatkan Sarawak, yang kini memudahkan aliran keluar masuk orang ramai serta barangan melalui pelabuhan sempadan.

Beliau berkata dalam menyelesaikan isu sempadan dengan Indonesia, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak perlu terlibat dalam perundingan.

“Ke Indonesia baru-baru ini bersama saya saudara Hajiji dan Abang Jo (Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dalam pertemuan dengan Presiden Prabowo dan jemaah menteri,” kata beliau.

Anwar berkata Petronas dan Pertamina turut menjalin kerjasama dalam proses cari gali minyak melibatkan telaga yang terletak dalam kawasan Malaysia dan Indonesia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan