Ad Banner
 AM > BERITA

Yang di-Pertuan Agong Berangkat Ke Rusia Untuk Lawatan Negara

04/08/2025 10:42 AM

SUBANG, 4 Ogos (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat ke Rusia pagi ini untuk Lawatan Negara bermula esok hingga 10 Ogos ini atas jemputan Presiden Vladimir Putin.

Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada 1967.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini, pada 8.55 pagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim.

Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda ialah Menteri Luar Datuk Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris serta Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda.

Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Sultan Ibrahim dijadual tiba di Moscow pada Selasa dan akan disambut dalam Istiadat Sambutan Negara di Kremlin pada Rabu sebelum mengadakan pertemuan rasmi bersama Putin serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Presiden Rusia itu.

Pada 8 Ogos, Sultan Ibrahim akan berangkat ke Kazan, bandar kelima terbesar di Rusia, dan berkenan menerima menghadap Rais Republik Tatarstan Rustam Minnikhanov dan kedua-dua pihak dijangka membincangkan potensi kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, industri halal serta teknologi pertanian.

Rusia merupakan rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dan ke-28 di peringkat global dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion) pada 2024.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah perdagangan Malaysia-Rusia direkodkan sebanyak RM4.13 bilion (USD945.7 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan