RM543 JUTA DIAGIH KEPADA NEGERI LAKSANA PROJEK PEMULIHARAAN SUNGAI
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Sebanyak RM543.79 juta telah diagihkan kepada semua negeri sejak 2022 hingga kini bagi melaksanakan projek pemuliharaan sungai dalam usaha mengurangkan risiko banjir.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata peruntukan yang disalurkan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan pelaksanaan kerja-kerja kecil seperti pengaluran sungai, menstabilkan tebing sungai dan menaik taraf saluran serta struktur berkaitan.
“Sepertimana Yang Berhormat maklum, kerana perkara ini tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan maka tanggungjawab itu masih di bawah negeri cuma pendekatan kerajaan Persekutuan memang kita kemukakan melalui Rancangan Malaysia (RMK) untuk mendapatkan peruntukan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan) mengenai cadangan untuk meningkatkan peruntukan di bawah RMK13 bagi projek pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir untuk negeri-negeri.
-- BERNAMA
TIADA LAGI KELULUSAN PENGELUARAN NOMBOR PENDAFTARAN KHAS SYARIKAT, NGO
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak lagi meluluskan pengeluaran Nombor Pendaftaran Khas (NPK) kepada mana-mana syarikat, individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khususnya bagi tujuan perniagaan yang menjana keuntungan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.
Sebaliknya, beliau berkata Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) kini dibuka kepada pembidaan melalui JPJeBid dan hasilnya dimasukkan dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan di bawah kerajaan Persekutuan, seterusnya sebahagian wang itu digunakan untuk program berpaksikan rakyat.
“Sejak diperkenalkan pada 2023, sebanyak RM110,069,150 telah dikutip yang sebahagiannya digunakan untuk program berpaksikan rakyat seperti Bantuan Lesen Memandu Percuma, Program Penukaran Topi Keledar Percuma, Bantuan Subsidi FlySiswa, Caruman Percuma di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri dan program peningkatan promosi keselamatan jalan raya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang ingin tahu garis panduan yang digunakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam meluluskan siri nombor pendaftaran kenderaan khas serta jumlah kutipan hasil daripada penjualan plat khas sejak lima tahun kebelakangan ini.
-- BERNAMA
JABATAN PENJARA KERJASAMA DENGAN 789 SYARIKAT, SEDIA PELUANG PEKERJAAN
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Jabatan Penjara Malaysia bekerjasama dengan 789 syarikat bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada 7,051 prospek (banduan parol) sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan dalam komuniti.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi program Corporate Smart Internship bagi membantu bekas banduan mendapatkan pekerjaan serta memudahkan proses integrasi mereka ke dalam masyarakat.
“Daripada 7,051 ini, kita yakin dapat tambah hingga 8,500 dalam masa terdekat kerana Guthrie telah bersetuju untuk mengambil lagi 644 orang. Guthrie bukan sahaja ambil mereka tetapi turut melatih dan berikan sijil menuai serta membayar upah.
“Shopee pula akan ambil 350 orang,” katanya menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) mengenai keberkesanan program banduan parol termasuk peluang pekerjaan bagi banduan dari 2024 hingga Jun 2025 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
-- BERNAMA
KPT LAKSANA PENDEKATAN BERSASAR TANGANI ISU KESIHATAN MENTAL PELAJAR IPT
KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melaksanakan pelbagai pendekatan bersasar bagi memperkukuh sokongan kesihatan mental dan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) secara menyeluruh.
Menterinya Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pendekatan itu dirangka mengikut keperluan dan konteks setiap institusi sama ada universiti awam, politeknik mahupun kolej komuniti, bagi memastikan langkah yang diambil benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan pelajar.
“Dari segi peratusan keseluruhan hanya 0.067 peratus iaitu bersamaan 402 kes yang benar-benar terlibat (masalah kesihatan mental), yang memerlukan intervensi daripada pihak universiti awam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) yang ingin tahu strategi kementerian untuk memperkukuh sokongan kesihatan mental dan kebajikan pelajar IPT sejajar dengan pendekatan menyeluruh yang diguna pakai di negara maju.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial