Ad Banner
 AM > BERITA

PM Anwar Rasmi Ijtima' MADANI Ulama, Tinjau Penanaman Padi Di PMR Kelantan

09/08/2025 11:34 AM

KOTA BHARU, 9 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan, selain menghadiri beberapa lagi program pada hari terakhir Program MADANI Rakyat (PMR) Kelantan 2025, di sini.

Ijtima’ atau perhimpunan berkenaan merupakan platform utama dalam usaha memperkukuh peranan ulama dan guru pondok dalam memartabatkan pendidikan agama serta budaya pondok di negeri ini, dijadual bermula 9.15 pagi ini di  Dewan Profesional, Kampus Universiti Teknologi MARA, Machang.

Pada 11.20 pagi, Perdana Menteri dijangka meninjau pelaksanaan projek penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Desa Gemalai Baruh Alami, Kota Bharu, yang merupakan destinasi agroekopelancongan menonjol dengan sawah padi organik bebas racun serta baja kimia.

Anwar kemudian akan melancarkan Gelombang MADANI Negeri Kelantan di Dewan Utama Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, sebelum mengakhiri program beliau di Kelantan dengan merasmikan Penutupan PMR 2025 Kelantan pada 2.15 petang di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

PMR 2025 Kelantan yang berlangsung selama tiga hari sehingga hari ini, diterajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan lain.

Program berkenaan menawarkan lebih 100 perkhidmatan terus kepada rakyat, pameran teknologi terkini serta pelbagai inisiatif mendekati masyarakat melalui pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI.

Bertemakan ‘Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Kesejahteraan Rakyat’, PMR 2025 Kelantan mengetengahkan konsep karnival serta penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan