Ad Banner
 AM > BERITA

Rakyat Titip Doa, Ucapan Istimewa Sempena Ulang Tahun Ke-78 PM Anwar

10/08/2025 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- Limpahan doa dan ucapan istimewa membanjiri media sosial sempena ulang tahun kelahiran ke-78 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mencerminkan kasih sayang dan sokongan padu rakyat terhadap pemimpin negara.

Ucapan penuh ketulusan daripada anggota Kabinet, pemimpin negeri, pegawai kanan kerajaan, warga maya, dan rakyat pelbagai kaum menyerlahkan keyakinan terhadap kepimpinan Anwar dalam membawa transformasi negara menuju Malaysia MADANI yang makmur dan sejahtera.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) menerusi hantaran di Facebook mendoakan agar Anwar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, umur panjang, dan kekuatan untuk terus memimpin negara ke arah Malaysia MADANI yang adil, makmur, dan sejahtera.

"Seluruh warga Pejabat Perdana Menteri mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-78 kepada YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim," menurut hantaran tersebut, yang turut disertakan video berdurasi 44 saat memaparkan perjalanan kepimpinan beliau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam ucapannya, berdoa agar Perdana Menteri terus diberikan kesihatan, kekuatan, dan kebijaksanaan dalam memimpin negara serta merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menzahirkan penghargaan terhadap keteguhan dan kesabaran Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali turut menyampaikan ucapan ringkas namun bermakna, mendoakan agar Perdana Menteri sentiasa dalam rahmat Allah SWT dan dipanjangkan umur.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin ulung negara yang memimpin dengan penuh kebijaksanaan. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menzahirkan penghargaan terhadap kepimpinan beliau yang penuh hikmah.

"Doa kami agar setiap langkah YAB sentiasa dipandu petunjuk Ilahi, dilimpahi rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Terima kasih atas kepimpinan yang penuh kebijaksanaan dan kesungguhan dalam membina Malaysia MADANI," katanya.

Sementara itu, laman Facebook Malaysia MADANI turut berkongsi klip video 2 minit 41 saat mengandungi ucapan daripada pelbagai lapisan masyarakat khusus buat Perdana Menteri. 

Lebih istimewa, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil, Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman, ahli akademi dan pendakwa Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah serta penceramah dan pendakwah Zul Ramli M.Razali bersama-sama memanjatkan doa untuk Perdana Menteri. 

Rakyat daripada pelbagai usia, kaum dan latar belakang pekerjaan turut memberikan ucapan kepada Perdana Menteri sempena hari istimewa itu.

Lebih menyentuh hati, sekumpulan pelajar Sekolah Kebangsaan Presint 14 Putrajaya membentuk formasi angka 78 sebagai simboli usia Perdana Menteri.

"Daripada kami, rakyat Malaysia, setulus hati mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran ke-78 kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan yang baik, usia yang panjang, dan kekuatan berterusan untuk memimpin negara menuju Malaysia MADANI yang makmur, adil, dan sejahtera," menurut catatan di laman Facebook tersebut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan