Ad Banner
 AM > BERITA

Bekas Tentera Bermotosikal Kibar Jalur Gemilang Semarakkan Bulan Kebangsaan  

11/08/2025 03:27 PM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 11 Ogos (Bernama) -- Saban tahun, tarikh 1 Ogos menjadi detik yang ditunggu-tunggu oleh Mohd Mustafa Abu Bakar, 64, untuk menghias motosikal dengan bendera sebagai simbolik bermulanya bulan kebangsaan.

Bekas tentera yang mesra di panggil Pak Mus itu meneruskan amalan berkenaan tahun ini dengan melekatkan puluhan Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bendera negeri Pahang di topi keledar serta motosikal kesayangannya untuk ‘berkempen’ bagi menghidupkan suasana kemerdekaan. 

Malah, gelagat bekas perwira negara yang menunggang motosikal skuter dihiasi 75 bendera sambil memasang lagu-lagu patriotik sekitar bandar berkenaan turut mencuri tumpuan masyarakat pelbagai lapisan umur yang mendekatinya untuk mengambil gambar dan merakam video.

“Setiap tahun saya memang menantikan tarikh 1 Ogos, tepat 12 tengah malam motosikal saya siap dipasang bendera untuk beraksi dan ini satu daripada cara saya menunjukkan rasa kasih kepada negara sambil mengingatkan masyarakat bulan kemerdekaan telah bermula dan kita perlu menyemarakkannya. 

“Inisiatif ini juga dilihat sebagai tanggungjawab untuk menaikkan semangat merdeka dan menghargai keamanan serta perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk pada hari ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Lebih istimewa, peniaga kedai makan itu juga tidak ‘lokek’ berbelanja untuk membeli ratusan bendera bersaiz mini sebagai cenderamata untuk orang ramai terutama kanak-kanak yang teruja melihat motosikalnya. 

“Dalam sehari, saya akan ke dua atau tiga tempat tumpuan seperti di Teluk Cempedak dan Dataran Sekilau sambil membawa pembesar suara dan memberhentikan motosikal serta memutarkan lagu patriotik antaranya ‘Inilah Barisan Kita’ untuk menaikkan semangat masyarakat. 

“Saya juga rasa kesian bila ada kanak-kanak datang minta bendera yang dilekatkan di motosikal. Jadi, saya bagi Jalur Gemilang lain untuk menggembirakan mereka,” kata bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu yang berkhidmat selama 13 tahun bermula 1981. 

Bapa kepada tiga anak itu berkata sokongan yang diperoleh daripada orang ramai membuatkan beliau lebih bersemangat untuk meneruskan usaha yang dilakukannya sejak 2019. 

Beliau berkata inisiatif itu turut mendapat sambutan masyarakat pelbagai kaum yang ingin bergambar termasuk pelancong dari luar negara. 

Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu turut berasa lega kerana diberi layanan baik oleh pengguna jalan raya ketika menunggang motosikal berkenaan. 

“Pengguna jalan raya tidak kira bangsa sangat ‘sporting’ menyantuni saya termasuk ketika di persimpangan lampu isyarat, namun saya menganggapnya sebagai tanda hormat mereka kepada bendera kebanggaan kita, Jalur Gemilang.

“Tidak ada sebesar zarah perasaan malu dalam diri saya untuk menunggang motosikal dilekat dengan bendera sebegitu, saya gembira dan bangga melakukannya,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Mustafa juga berharap orang ramai mengambil inisiatif memasang bendera di kediaman masing-masing, ‘satu rumah, satu bendera’  bagi menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan dan sebagai simbol patriotik. 

“Nak mencari kemerdekaan ini bukan senang, ramai yang terkorban untuk kita dapat keamanan dan perpaduan seperti hari ini. Marilah kita sama-sama mengambil tanggungjawab mengekalkannya,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan