Ad Banner
 AM > BERITA

Perlis Connect Tingkat Literasi Digital Dan Perkasa Usahawan

16/08/2025 09:53 PM

PADANG BESAR, 16 Ogos (Bernama) – Penganjuran Program Perlis Connect di Padang Besar Street di sini memperluas kesedaran digital, memperkasakan pengguna serta menyokong ekosistem inovasi dan keusahawanan tempatan melalui pelbagai inisiatif dan aktiviti interaktif.

Program sehari itu merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Menurut kenyataan bersama MCMC dan Bernama, antara pengisian menarik program itu ialah sesi penerangan perkhidmatan perayauan antarabangsa, keselamatan siber melalui Kempen Internet Selamat (KIS), demonstrasi aplikasi MCMC NEXUS serta pameran dan jualan produk tempatan oleh usahawan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

“Program ini bertujuan memperluas kesedaran digital, memperkasakan pengguna serta menyokong ekosistem inovasi dan keusahawanan tempatan. Ia juga menjadi platform strategik untuk mendedahkan masyarakat kepada kemajuan teknologi dan komunikasi,” menurut kenyataan itu.

Turut dibuka pada program berkenaan ialah Kaunter Aduan MCMC bagi memudahkan orang ramai membuat laporan, mendapatkan khidmat nasihat dan mengakses maklumat berkaitan perkhidmatan komunikasi, sekali gus mendekatkan perkhidmatan kepada rakyat.

Bernama pula menyumbang kepakaran editorial dan memanfaatkan platform medianya bagi memperluas jangkauan cerita kejayaan usahawan tempatan. Usaha itu  dilaksanakan melalui sesi temu bual langsung, liputan berita serta siaran langsung dari Studio Bergerak Bernama (motorhome) di lokasi program.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan program itu.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus’sele Eizan dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.

Hadir sama Ahli Suruhanjaya MCMC Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin (B), Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan