Ad Banner
 AM > BERITA

Terus Kibar Jalur Gemilang, Jangan Terpengaruh Sentimen Negatif - Pakar

18/08/2025 07:26 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia tidak perlu gusar untuk mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kebangsaan ini meskipun terdapat sentimen negatif segelintir pihak yang cuba menakut-nakutkan masyarakat dengan isu pemasangan bendera terbalik atau tidak mengikut tatacara.

Pakar berpendapat tindakan mengibarkan Jalur Gemilang perlu terus diperkasakan kerana ia bukan sahaja simbol kecintaan kepada negara, malah manifestasi semangat patriotisme dan perpaduan nasional yang menyatukan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

Pensyarah Kanan Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata Jalur Gemilang adalah lambang maruah dan kedaulatan negara yang tidak boleh dipandang ringan atau digugat oleh elemen negatif.

“Bendera ini adalah simbol yang mengikat rakyat dengan negara. Ia adalah fizikal kepada semangat cinta tanah air. Jangan biarkan sentimen negatif melemahkan semangat kita. Mengibarkan Jalur Gemilang perlu diraikan, bukan ditakuti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata isu seperti bendera terbalik atau rosak memang perlu dielakkan, namun kesilapan yang tidak disengajakan tidak wajar dijadikan alasan untuk menakut-nakutkan orang ramai kerana sentimen negatif tidak seharusnya menghalang majoriti rakyat yang sudah lama meraikan Bulan Kebangsaan dengan penuh semangat.

Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan rakyat supaya tidak takut atau gusar menonjolkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata walaupun terdapat beberapa individu yang cuba menimbulkan rasa takut terhadap aktiviti itu, ia tidak seharusnya mengikis semangat patriotisme dalam kalangan rakyat. 

Sementara itu, Penyelidik di Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid berkata pihak berkuasa perlu tampil memberi jaminan serta penjelasan kepada masyarakat bahawa mengibarkan Jalur Gemilang adalah amalan terpuji dan hanya kesalahan disengajakan dengan niat menghina negara, perlu dikenakan tindakan.

“Penting untuk pihak berwajib menangkis sentimen negatif ini dengan naratif positif serta memberi pendidikan kepada rakyat menerusi kempen kesedaran seperti di media sosial, video pendek, poster, infografik, dan pelbagai inisiatif di peringkat komuniti,” katanya.

Beliau berkata tindakan pihak berkuasa terhadap pihak yang memasang Jalur Gemilang secara salah bukan untuk menghukum tanpa sebab tetapi sekiranya perkara itu tidak ditangani, ia akan menimbulkan kesan lebih besar termasuk memecahbelahkan perpaduan yang sekian lama wujud di negara ini.

Selain itu, Mohd Azhar berkata sentimen negatif berkaitan isu bendera tidak boleh terus berlarutan kerana ia berpotensi menghakis semangat patriotisme rakyat, terutamanya ketika Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Justeru, beliau mencadangkan pemerkasaan strategi komunikasi yang komprehensif melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan Malaysia dan pihak media untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Sementara itu, dalam kalangan rakyat, mereka tetap mengagungkan bendera Malaysia sebagai simbol kebanggaan negara dan berpendapat Jalur Gemilang tidak boleh dijadikan bahan provokasi. 

Seorang akauntan Nurul Huda Azman, 32, berkata Malaysia sudah meraikan kemerdekaan sekian lama dan tidak seharusnya isu bendera dijadikan perkara yang boleh mencetuskan ketegangan antara masyarakat kerana ia perlu dihormati sebagai lambang Malaysia sebuah negara berdaulat.

Pelajar jurusan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ili Syahirah Azmi, 22, pula berpendapat isu bendera hanya dibangkitkan oleh segelintir pihak dan ia tidak mencerminkan pendirian majoriti rakyat.

Bagi pembantu tadbir, Liew Sien Fatt, 27, semangat rakyat terhadap Jalur Gemilang masih terserlah apabila ramai mengambil inisiatif menghias bangunan dan ruang pejabat dengan bendera menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

“Di pejabat saya, ada rakan-rakan memasang bendera kecil di meja masing-masing. Walaupun ada pihak cuba menimbulkan isu sensitif, usaha kecil seperti ini membuktikan semangat menyambut Hari Kebangsaan masih menebal dalam diri rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan