Ad Banner
 AM > BERITA

Kutipan Kempen Tabung Pahlawan Catat Peningkatan, Sasar RM3 Juta Bagi Edisi Seterusnya

19/08/2025 02:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2024/2025 berjaya mengumpul lebih RM2.19 juta, lebih tinggi berbanding RM1.3 juta direkodkan untuk edisi sebelumnya.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata kutipan daripada KTP, disalurkan kepada veteran ATM dalam bentuk bantuan kebajikan am dan bencana, bantuan perubatan serta bantuan pendidikan untuk anak-anak mereka.

Beliau berkata untuk 2023, sebanyak 2,067 veteran menerima bantuan berkenaan, diikuti 1,627 veteran pada 2024 dan 5,357 veteran pada 2025.

“Bagi yang pernah menyumbang, tahniah saya ucapkan dan teruslah menyalurkan sumbangan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan wira kita yang telah mempertaruhkan jiwa dan raga dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan negara.

“Setiap sumbangan juga layak menerima 10 peratus rebat cukai pendapatan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Semaon berkata sama seperti edisi sebelum ini, bagi KTP 2025/2026 yang telah bermula kutipan sejak 1 Ogos sehingga Julai 2026, sasaran kutipan sama RM3 juta dikekalkan.

Beliau berkata antara inisiatif baharu yang diperkenalkan untuk kempen kali ini ialah program Satu Rakyat Satu Ringgit (2R’DP), yang membolehkan orang ramai menyumbang denga lebih mudah melalui imbasan kod QR ke akaun KTP.

“Majlis pelancaran rasmi KTP 2025/2026 dijadualkan berlangsung Oktober ini sempena sambutan Jubli Perak JHEV ATM di Melaka, yang dijangka disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,” katanya.

Beliau berkata sumbangan boleh dibuat melalui beberapa kaedah termasuk transaksi dalam talian ke akaun rasmi KTP, tabung fizikal yang ditempatkan di lokasi strategik seperti stesen minyak BHP terpilih, sumbangan korporat, jualan amal, yuran penyertaan aktiviti anjuran JHEV ATM serta kutipan oleh persatuan-persatuan veteran.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan