KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Data ialah langkah penting dalam memastikan tadbir urus, pematuhan piawaian serta keberkesanan perlindungan data secara menyeluruh di negara ini, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata suruhanjaya itu akan bertindak sebagai badan pengawal selia khusus bagi menangani risiko berkaitan data, selaras dengan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026-2030 yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Pada masa ini, beliau berkata beberapa fungsi berkaitan data masih terletak di bawah pelbagai agensi termasuk Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) yang menumpukan kepada aspek data peribadi, serta Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) di bawah Kementerian Digital yang memantau aspek kecerdasan buatan (AI), namun terdapat keperluan untuk memperluas kawal selia ke atas data secara keseluruhan.
“Di sinilah kita lihat bagaimana kita boleh memastikan bahawa ada mekanisme yang boleh melihat kepada risiko itu dan juga ambil tindakan as we go along. Kita melihat kepada meluaskan perkara itu (kawal selia data) dan itu sebab kita sebut berkenaan dengan (penubuhan) Suruhanjaya Data.
“Kita nak pastikan kita ada piawaian tertentu, ia perlu diikuti. Kita ada peraturan tapi juga perlu dilaksanakan, undang-undang itu juga perlu kita laksanakan … ia memang dalam rancangan, bergerak ke hadapan saya harap kita dapat melihat Suruhanjaya Data itu ditubuhkan dengan segera,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berhubung komitmen kerajaan untuk menubuhkan badan semakan khas atau jawatankuasa bebas untuk memastikan penggunaan teknologi seperti AI tidak menggugat data peribadi atau privasi orang awam.
Beliau berkata penubuhan Suruhanjaya Data itu akan mengisi kekosongan dalam landskap pengawalseliaan dengan menyediakan satu badan berautoriti penuh yang mengendalikan isu-isu berkaitan data di luar skop data peribadi.
Suruhanjaya itu juga akan mewujudkan satu platform yang lebih jelas dari segi struktur tadbir urus sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap tahap keselamatan data negara.
Menjawab soalan asal Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GRS-Sri Aman) berhubung langkah kerajaan memastikan penggunaan AI dalam keselamatan siber mematuhi prinsip etika dan hak privasi, Gobind berkata Malaysia sedang memuktamadkan Pelan Tindakan AI Kebangsaan.
Beliau berkata pelan itu menetapkan rangka tadbir urus yang jelas dan turut melihat kepada aspek keseimbangan antara keselamatan serta hak privasi berdasarkan tiga prinsip utama.
“Prinsip pertama, ketelusan dan akauntabiliti setiap model AI yang direka bentuk mestilah boleh diaudit dengan jelas. Kedua, privasi secara reka bentuk dan keselamatan secara reka bentuk perlindungaan kepada data peribadi perlu diambil kira sejak daripada peringkat reka bentuk algoritma dan sistem dan aplikasi AI dan bukannya ditambah kemudian.
“Ketiga, kawalan manusia yang buat masa sekarang AI masih belum boleh diberi kuasa multak, kawalan manusia mesti dikekalkan pada peringkat tertentu bagi mengelakkan kesilapan kritikal, diskriminasi dan bias,” kata beliau.
Gobind berkata Pelan Tindakan AI Kebangsaan itu dibangunkan secara bersama dan kolektif turut mengambil kira aspek perundangan, antaranya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) dan Akta Keselamatan Siber 2024 (Akta 854).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial