Ad Banner
 AM > BERITA

MOT, RAC Dan KTMB Perlu Pastikan Perolehan EMU Secara Pajakan Melalui Rundingan Terus - PAC

20/08/2025 02:38 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT), Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu memastikan setiap fasa perolehan kereta api elektrik (EMU) secara pajakan menggunakan rundingan terus sebelum sebarang komitmen kewangan dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata perkara itu antara syor yang dicadangkan jawatankuasa itu selepas membentangkan penyata PAC berhubung perolehan EMU hari ini.

“MOT, RAC dan KTMB perlu memastikan setiap fasa perolehan terutamanya Fasa 1 yang menggunakan rundingan terus disokong oleh justifikasi yang kukuh dan kajian due diligence yang lengkap sebelum sebarang komitmen kewangan dibuat,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata setakat 12 Feb lepas, PAC telah memanggil tiga saksi utama iaitu Ketua Setiausaha MOT Datuk Jana Santhiran Muniayan, Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.

Berdasarkan prosiding itu, Mas Ermieyati berkata PAC mendapati bahawa keputusan perolehan EMU masih belum dimuktamadkan dan kini berada di peringkat kajian serta pemurnian dan rundingan masih berjalan bersama agensi pusat termasuk Kementerian Kewangan.

“Walaupun terdapat pengumuman awal mengenai anggaran kos RM10.7 bilion untuk 62 set tren dalam tempoh 30 tahun, angka ini adalah anggaran sahaja dan tiada perincian kos yang telah dimuktamadkan melalui rundingan rasmi dengan pihak pembekal.

Ad Banner

“Pemilihan model pajakan, berbanding pembelian terus didorong oleh kekangan peruntukan kewangan kerajaan yang terhad dan keperluan untuk mempercepatkan perolehan tren bagi memenuhi permintaan tinggi dan masalah kelewatan atau kekurangan tren sedia ada,” katanya.

Justeru, beliau berkata PAC mengesyorkan kerajaan melengkapkan kajian terperinci oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) mengenai perbandingan antara model pajakan dan pembelian terus, termasuk analisis kos faedah jangka panjang seterusnya diumumkan secara telus kepada umum.

Mas Ermieyati berkata MOT, RAC dan KTMB juga perlu memastikan perjanjian pajakan mengandungi perincian yang jelas mengenai skop penyelenggaraan yang ditanggung oleh syarikat pembekal, termasuk alat ganti dan pembaikan besar bagi mengelakkan kos tersembunyi kepada kerajaan.

Selain itu, beliau berkata MOT juga perlu memastikan tren yang dipajak mematuhi piawaian kualiti dan keselamatan tertinggi serta serasi dengan infrastruktur rel sedia ada di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan