KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa terdapat keperluan untuk mempertingkat pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara terutama aktiviti yang berdaya saing serta memfokus kepada sektor industri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata ini kerana antara cabaran utama dihadapi negara ketika ini ialah keupayaan R&D sedia ada yang masih belum mampu menjana pulangan pelaburan yang tinggi.
“Rata-rata R&D kini berada dalam fasa prapengkomersialan dan perlu dipacu ke fasa lebih tinggi yang menghampiri pengkomersialan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) agar pelaburan R&D negara ditingkatkan.
Bagi mengatasi kekangan itu, Chang berkata kerajaan melihat potensi besar melalui perkembangan teknologi serantau dan usaha ASEAN melalui ASEAN Startup yang dilihat mampu menarik lebih banyak bakat serantau untuk membuka perniagaan di Malaysia sekali gus meningkatkan daya saing R&D negara.
Beliau berkata berdasarkan data, pelaburan dalam R&D eksperimental meningkat kepada 60.97 peratus pada 2022 namun hanya 0.3 peratus daripada perusahaan perniagaan melabur dalam aktiviti R&D.
Beliau berkata ini menunjukkan sektor swasta masih kurang aktif dalam pelaburan R&D dan insentif khas perlu diwujud bagi merangsang minat mereka.
“Dalam konteks bidang kuasa MOSTI, pelbagai langkah telah dilaksanakan antaranya melaksanakan Malaysia Science Endowment (MSE) bagi membangunkan pembiayaan alternatif yang memanfaatkan kerjasama pelbagai pihak.
“Selain itu, pelaksanaan inisiatif berasaskan misi iaitu Mission Oriented Initiative untuk menyatukan keseluruhan agenda penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan di bawah satu misi strategik yang jelas terarah dan berpaksikan penyelesaian kepada isu-isu kritikal di peringkat nasional,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial