Ad Banner
 AM > BERITA

Kes Zara Qairina Yang Pertama Didakwa Di Bawah Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025

20/08/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kes membabitkan pelajar tingkatan satu Zara Qairina Mahathir merupakan yang pertama didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 yang memperuntukan kesalahan bagi perbuatan membuli.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pelaksanaan pindaan terhadap Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan memperkukuh kuasa undang-undang ke atas perbuatan jenayah buli.

Beliau berkata sejak pindaan Seksyen 507 Kanun Keseksaan dikuatkuasakan dan diwarta pada 11 Julai lepas, polis sudah membuka 11 kertas siasatan berkaitan buli.

“Kertas siasatan ini masing-masing ada bawah Seksyen 507B, 507C dan sebagainya… ini menunjukkan bahawa adanya penambahbaikan undang-undang itu yang membolehkan polis bertindak.

“Sekarang ini, macam kes Zara misalnya yang sudah dituduh hari ini, itu adalah tuduhan di bawah satu daripada seksyen yang kita pinda sebelum ini, menjadikan ini kes yang pertama kita tuduh (sejak pindaan),” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) yang membangkitkan isu tindakan polis yang disifatkan sebagai kurang pantas dalam menyiasat kes melibatkan laporan berkaitan buli termasuk di Johor baru-baru ini.

Ad Banner

Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 yang bertujuan menangani isu buli dengan lebih efektif serta menyeluruh termasuk buli siber telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 10 Dis 2024 dan Dewan Negara pada 16 Dis tahun sama.

Terdahulu, lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 Serentak dengan perkembangan undang-undang itu, Saifuddin Nasution berkata KDN mahu polis bertindak pantas dalam menyiasat setiap laporan membabitkan perbuatan buli yang diterima.

Beliau juga menyeru semua pihak agar tidak memainkan sentimen atau membuat gambaran yang tidak tepat seolah-olah ada cubaan untuk melindungi sesiapa, atau cover-up.

“Apabila saya semak di sebalik kronologi dan rentetan siasatan (polis) dengan angka yang begitu ramai keterangan (saksi) yang lengkap diambil, saya pun rasa sedih dengan kesungguhan pasukan polis (menyiasat), hanya kerana satu bahagian sahaja di mana polis dikatakan gagal untuk buat bedah siasat.

“Pada 4 Ogos, pada hari kali pertama kita serah kertas siatasan kepada AG (Peguam Negara) dan 3 Ogos, ibu Zara ada buat laporan polis (kerana) ketika memandikan mayat Zara, ada kesan lebam... serentak dengan itu juga, dalam kertas siasatan yang diserahkan kepada AG, ada kita cadangkan dibuat gali semula (kubur Zara),” katanya.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada pagi 16 Julai.

Sementara itu, beberapa kementerian lain turut menggulung perbahasan usul RMK13 bagi kementerian masing-masing termasuk Kementerian Perpaduan Negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan