Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Laporan Kajian AI Productivity Paradox Dibentang Ke Kabinet Pada Awal Oktober - KSN

18/09/2025 12:58 PM

SEPANG, 18 Sept (Bernama) -- Laporan terperinci mengenai kajian kesan kecerdasan buatan (AI) terhadap produktiviti, atau dikenali sebagai AI Productivity Paradox, dijangka dibentang pada mesyuarat Jemaah Menteri awal bulan depan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata kajian itu sedang diperhalusi oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara dan Kementerian Digital.

"Saya akan bentangkan buat kali kedua secara terperinci. Insya-Allah, dalam dua ke tiga minggu lagi akan ada pembentangan yang lebih terperinci," katanya kepada media selepas majlis perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali keempat di sini hari ini.

Ad Banner

Shamsul Azri berkata laporan awal sudah dibentangkan pada mesyuarat Kabinet selepas dua minggu majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos lepas.

Beliau berkata konsep productivity paradox merujuk kepada keadaan di mana perbelanjaan besar untuk AI atau pendigitalan tidak semestinya meningkatkan produktiviti.

"Bila kita nak buat AI atau pendigitalan, kita kena tengok keberkesanan kos sebab ada satu tahap nanti, bila kita belanja banyak untuk AI atau pendigitalan, produktiviti dia jadi plateau (mendatar).

Ad Banner

"Jadi, kita kena pastikan setiap perbelanjaan yang kita buat untuk AI dan pendigitalan benar-benar memberi produktiviti yang tinggi serta output terbaik untuk kerajaan," katanya.

Perdana Menteri sebelum ini mengingatkan risiko AI productivity paradox iaitu pelaburan besar dalam Al tidak semestinya meningkatkan produktiviti malah kajian menunjukkan hanya tiga hingga tujuh peratus penggunaan teknologi itu benar-benar memberi kesan kepada produktiviti atau pendapatan pekerja.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan